fbpx

Elektrik terputus: Pencawang rosak punca ‘bergelap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sesi sidang akhbar Bintang Sensasi Bollywood terganggu ekoran terputus bekalan elektrik di Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA – Gangguan bekalan elektrik yang berlaku hampir tiga jam mulai pukul 12.39 tengah hari yang melibatkan kebanyakan negeri di Semenanjung berpunca daripada ke­rosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan semalam berkata, masalah itu telah me­ngakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt (GW) yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, TNB telah berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di semua kawasan yang mengalami gangguan pada pukul 3.02 petang semalam.

“Kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berte­rusan Pasukan Teknikal TNB,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, TNB memohon maaf kepada semua pelanggannya yang terganggu disebabkan masalah teknikal tersebut.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454.

suasana di sekitar pusat beli-belah Suria KLCC ketika bekalan elektrik terputus di Kuala Lumpur semalam.
– SHIDIEQIN ZON

Sementara itu, TNB memberi jaminan bekalan elektrik di negara ini adalah berdaya harap dan stabil yang mana gangguan bekalan mampu dipulihkan dalam tempoh segera, sepertimana dibuktikan dalam kejadian gangguan bekalan di beberapa kawasan tengah hari semalam.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din pula berkata, pihaknya dapat menyelesaikan masalah gangguan dalam tempoh wajar, malah ada kawasan pulih seawal 20 minit selepas terputus bekalan.

“Pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap hasil pelaburan secara berterusan TNB memodenkan grid termasuk mendigitalkannya agar rangkaian pembekalannya lebih stabil, fleksibel dan konsisten,” katanya.

Berita berkaitan: TNB mohon maaf, bekalan elektrik terputus, berusaha pulihkan bekalan

Jelas beliau, kejadian yang berpunca daripada kerosakan di PMU Yong Peng North adalah kes terpencil dan kepantasan pemulihan bekalan menggambarkan tahap daya harap rangkaian sistem bekalan TNB.

Katanya, kerosakan di PMU Yong Peng North itu tidak melibatkan sebarang kebakaran dan PMU tersebut telah pun bero­perasi sepenuhnya.

Justeru, beliau memberi komitmen TNB akan terus menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap dengan sentiasa melaksanakan senggaraan dan membuat pelaburan bagi mening­katkan keupayaan sistemnya.

“Keupayaan kami memulihkan bekalan hari ini (semalam) adalah berikutan pelaburan besar dan berterusan TNB bagi menaik taraf sistem dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,” ujarnya.

Beberapa pelanggan di sebuah kedai makan di Seksyen 20, Shah Alam, Selangor terpaksa makan dalam keadaan panas akibat ketiadaan elektrik, hari ini- MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

Mengimbas sejarah, kejadian seperti ini pernah dilaporkan pada tahun 1992, 1996 dan 2003.

Pada 1992, sebahagian besar penduduk Semenanjung berdepan gangguan bekalan elektrik dalam tempoh lama di antara enam hingga 10 jam.

Ia dikatakan berpunca daripada panahan kilat pada grid melibatkan empat talian kuasa antara Paka dan Teluk Kalong di Terengganu, sekali gus menyebabkan 12 stesen kuasa di pantai Barat Malaysia terputus bekalan elektrik.

Kejadian sama berulang lagi pada 3 Ogos 1996 pukul 5.17 petang yang mana ganguan hanya pulih sepenuhnya selepas tempoh 12 jam.

Kejadian yang berlaku di­sebabkan kerosakan pada jana kuasa di Paka, Terengganu itu disifatkan insiden paling terburuk direkodkan dalam kalendar sejarah negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI