fbpx

Dewan Rakyat luluskan RUU Anti Lompat Parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat sebentar tadi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen.

RUU membabitkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti itu diluluskan melalui undian belah bahagian oleh 220 Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan seramai 209 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 11 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.

“Tahniah kepada seluruh Ahli Parlimen kerana telah mencatat sejarah,” katanya.

RUU berkenaan antaranya menetapkan seseorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya jika wakil rakyat itu ‘lompat parti’.

Bagaimanapun seseorang Ahli Parlimen tidak kehilangan kerusinya jika wakil rakyat itu dipecat daripada partinya atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

RUU itu juga memansuhkan larangan bertanding selama lima tahun terhadap mereka yang meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau setuju RUU itu bukan penyelesaian 100 peratus kepada semua permasalahan yang timbul.

Bagaimanapun, kata beliau, kelulusan yang diperoleh oleh Dewan Rakyat tersebut merupakan langkah pertama.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada 54 orang Ahli Parlimen yang menyertai sesi perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pindaan dalam jawatankuasa.

“Segala cadangan dan pandangan oleh Ahli Parlimen amat dihargai dan akan diberi perhatian sewajarnya,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan.

Kelmarin RUU Anti Lompat Parti yang dinanti-nantikan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI