fbpx
Mohd. Al Jufferi Jamari mudah tewaskan S. Kumar untuk melepasi pusingan kelayakan Kelas F Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Melaka hari ini.

Kejuaraan Pencak Silat Dunia: Al Jufferi tepati ramalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Seperti diramalkan, bekas juara dunia tiga kali Mohd. Al Jufferi Jamari tidak berdepan tentangan sengit apabila mudah menewaskan S. Kumar dari India untuk melepasi pusingan kelayakan Kelas F Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini.

Kejayaan tersebut memastikan pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu berdepan seteru utama, Alvin T. Campos dari Filipina pada pusingan seterusnya esok.

Dalam aksi serentak di Arena 2, Campos mara berdepan Mohd. Al Jufferi selepas beliau dengan mudah mengetepikan saingan, Rex Burema dari Belanda, 45-20.

Dalam aksi di Arena 1, pesilat negara mudah menewaskan Kumar dengan keputusan 41-16.

“Syukur alhamdulillah saya tidak berdepan tugas getir berdepan pesilat dari India. Dia pesilat baharu yang diketengahkan dan saya tidak banyak tahu kekuatannya tetapi saya tidak pandang rendah dia,” kata Mohd. Al Jufferi kepada pemberita selepas tamat pertarungan.

Mengenai pertembungan dengan Campos, Mohd. Al Jufferi berkata, lawannya itu sudah biasa ditemui dalam beberapa kejuaraan sebelum ini.

Menurutnya, pertemuan dengan pesilat itu tidak mungkin sama seperti dahulu, apatah lagi sejak pandemik Covid-19 Campos pastinya sudah banyak berubah terutama daripada segi fizikal dan taktikal.

“Saya ada strategi berdepan dengan Campos, insya-Allah saya yakin untuk menewaskan dia walaupun saya masih berasa sakit di bahu kanan akibat kecederaan di separuh akhir Sukan SEA Hanoi, Mei lalu,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa pesilat negara cemerlang dalam kategori solo kreatif lelaki menerusi Mohd. Shukrillah Badrilah dan Lukman Laji yang mara ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun trio wanita negara, Merrywati Manuil, Fatin Ardani Zamri dan Siti Khairinnisa Hail terpaksa akur dengan kehebatan pasukan dari Indonesia. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR