fbpx

Penang FC perlu ‘sengatan’ tiga serangkai – Zainal Abidin Hassan

PENGENDALI skuad Penang FC, Zainal Abidin Hassan mahu menagih sengat jentera sera­ngan ‘tiga serangkai’ terdiri daripada Hilal El-Helwe, Lucas Silva dan Endrick Dos Santos pada aksi menentang Melaka United malam ini.

Sebagai rekod, Hilal mempamerkan aksi cemerlang selepas meledak dua gol, manakala Silva melakukan satu jaringan untuk membantu skuad Harimau Kumbang menang 5-2 ke atas Sri Pahang Sabtu lepas.

Zainal percaya kedua-dua pemain itu akan mempamerkan ketajaman di jentera serangan dengan tugas memberi umpanan diberikan kepada Endrick selaku jeneral di tengah padang.

“Saya boleh lihat keistimewaan Hilal sejak aksi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mana dia sentiasa bekerja keras selain berjaya membentuk kesefahaman yang baik bersama Silva.

“Malah, ketika bertemu Pahang juga, kedua-dua pemain bekerjasama mencipta jaringan, sekali gus mengucar-kacirkan pertahanan pasukan lawan.

“Justeru, saya harap kedua-dua pemain ini termasuk Endrick yang diberikan peranan untuk mencipta peluang dan mem­buka ruang buat penyerang dapat tampil lebih tajam pada perlawanan seterusnya nanti,” kata pe­ngendali berusia 61 tahun itu.

Zainal telah dilantik menjadi pengendali baharu Penang FC bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh jurulatih import, Thomas Trucha yang dipecat pada Mei lepas.