fbpx

30 nyawa melayang atas jalan dalam 10 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trak pikap Toyota Hilux terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan kereta Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, Gerik minggu lalu.

Sabtu lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kejadian kemalangan yang meragut nyawa lima sekeluarga di Gerik, Perak.

Nahas membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki si mati dan trak pikap Toyota Hilux itu merupakan kejadian ketiga yang mengorbankan banyak nyawa dalam tempoh tidak sampai dua minggu pada bulan ini.

Pada 13 Julai lalu, sepasang suami isteri dan dua anak perempuan mereka yang dalam perjalanan ke ibu negara menjadi korban jalan raya selepas kereta jenis Proton Persona yang dinaiki serta lima kenderaan lain dilanggar sebuah treler dari arah belakang di Ipoh.

Dalam kejadian itu, empat beranak ‘pergi’ dalam sekelip mata.

Empat hari kemudian, kita dikejutkan pula dengan kejadian kemalangan melibatkan sekumpulan penunggang motosikal di George Town.

Kejadian itu mengorbankan lima anak muda. Tiga daripada mereka disahkan maut di tempat kejadian, manakala dua lagi yang parah meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Tiga insiden meragut 14 nyawa dalam masa 10 hari. Ia bukanlah satu angka yang kecil. Itu tidak termasuk nahas jalan raya di lokasi lain yang mengorbankan satu atau dua nyawa.

Sekurang-kurangnya 30 orang maut akibat kemalangan bagi tempoh 13 hingga 23 Julai di seluruh negara. Itu kejadian yang dilaporkan oleh media termasuk Kosmo!.

Bukan untuk menidakkan takdir tetapi apa yang dikesalkan adalah ada kejadian kemalangan maut yang berlaku disebabkan kecuaian pihak lain. Orang lain bawa kenderaan tidak cermat, orang lain pula yang menanggung akibatnya.

Ada dalam kalangan ahli keluarga mangsa terpaksa bergelar anak yatim piatu dalam sekelip mata.

Seperti yang kes berlaku di Gerik pada hujung minggu lalu, polis memberitahu nahas itu berpunca daripada trak pikap Toyota Hilux yang hilang kawalan sebelum bertembung dengan MPV dinaiki si mati.

Bukan mahu melabel kenderaan jenis tertentu sebagai roadkiller, namun itulah realiti yang dilaporkan, malah Kosmo! pernah mengupas mengenai perkara tersebut dengan mendapatkan pakar-pakar berkaitan.

Laporan bertajuk ‘Trak pikap pembunuh di jalan raya’ itu disiarkan di muka hadapan Kosmo! pada 8 Mac lalu.

Namun masih ada pemandu trak pikap seolah-olah ‘lupa diri’ ketika berada di atas jalan raya apabila memandu laju terutama di jalan biasa.

Peruntukan undang-undang di negara ini sudah memadai, malah dalam keadaan tertentu ada pemandu yang telah pun dituduh di mahkamah atas kesalahan membunuh.

Adalah jauh lebih baik sekiranya pemandu itu sendiri dapat mengubah sikap. Itu lebih baik daripada berlagak handal dan sombong atas jalan raya yang menjadi milik bersama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI