fbpx
SUNTIKAN vaksin influenza bukan digunakan sebagai rawatan, tetapi angkah pencegahan daripada mendapat jangkitan.

Jaga kebersihan elak influenza mengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JUMAAT lalu, Kosmo! melaporkan, wabak influenza yang menjangkiti individu mengakibatkan katil di wad-wad perubatan dan pediatrik di kebanyakan hospital melebihi kapasiti ekoran sesak dengan pesakit dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.

Situasi tersebut ternyata mengundang kebimbangan masyarakat memandangkan waktu menunggu pesakit untuk dimasukkan ke wad meningkat sehingga melebihi empat jam pada ketika itu.

Lebih-lebih lagi apabila pada tahun 1918 hingga 1919, sejarah menunjukkan wabak influenza pernah menyerang dunia yang mana pandemik global influenza atau dikenali sebagai Spanish Flu dan membunuh sekitar 50 juta manusia dunia ketika itu dikhuatiri bakal berulang.

Bagi mengulas lanjut mengenai isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemubual Pakar Kesihatan Pekerjaan di Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr. Nurul ‘Afiah Mohd. Isa di pejabatnya.

KOSMO! AHAD: Kebanyakan orang masih keliru dalam membezakan antara influenza dan demam selesema biasa, hakikatnya flu lebih berbahaya malah dapat menimbulkan pelbagai komplikasi berbanding selesema biasa, malahan boleh membawa maut. Apa perbezaan ketara antara kedua-duanya dan jenis-jenisnya?

DR. NURUL ‘AFIAH: Influenza atau flu dan selesema adalah jangkitan virus dan kedua-duanya senang berjangkit dan boleh berjangkit melalui cara sama iaitu kontak pada bendalir atau cecair badan seperti kahak, hingus dan air liur.

Perbezaan untuk dua jangkitan virus ini boleh dibahagikan kepada beberapa aspek iaitu jenis virus terlibat, gejala atau simptom, komplikasi yang boleh berlaku dan juga sama ada terdapat vaksin khas untuk setiap jangkitan tersebut.

Selesema biasanya disebabkan oleh rhinovirus, tetapi ada lebih kurang 200 jenis virus yang boleh menyebabkan selesema, manakala influenza pula disebabkan oleh virus influenza A atau B.

Sebenarnya virus influenza mempunyai empat jenis iaitu A, B, C dan D. Bagaimanapun virus A,B dan C sahaja yang menyebabkan jangkitan pada manusia. Pun begitu, virus influenza jenis C tidak menyebabkan penularan wabak seperti influenza jenis A dan B yang sangat senang berjangkit antara manusia.

Secara amnya, jangkitan influenza A menyebabkan gejala dan kompikasi lebih teruk dari jangkitan influenza B.

Siapakan golongan paling berisiko terhadap jangkitan influenza yang semakin ‘mengganas’ di negara ini pada masa sekarang dan apakah simptom paling senang dilihat?

Golongan berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti influenza adalah bergantung pada keadaan kesihatan individu terbabit dan juga kawasan persekitaran sama ada tempat kerja atau tempat tinggal.

Mereka yang berisiko adalah seperti pekerja kesihatan yang mana lebih mudah dijangkiti kerana pendedahan langsung kepada pesakit dan individu yang bergejala.

Kanak-kanak sekolah dan taska penjagaan kerana kontak rapat dan berada dalam kelompok yang ramai dan sesak juga berisiko tinggi terhadap jangkitan influenza.

Selain itu, warga emas berumur 65 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur lima tahun juga antara berisiko kerana faktor imuniti mereka lebih rendah.

Influenza adalah sejenis jangkitan bermusim dan sangat ketara semasa musim sejuk. Tetapi berbeza di Malaysia, kes influenza berlaku sepanjang tahun.

Bagaimanapun untuk kes influenza yang semakin meningkat baru-baru ini, ia berkemungkinan dari perkembangan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang mana kita boleh lihat ramai yang mula memandang ringan dalam menjaga kebersihan di tempat awam.

Ini termasuk mengelakkan memegang kawasan muka dengan tangan yang kotor, tidak membersihkan tangan sekerap sebelum ini dengan cecair pembersih tangan dan tidak disiplin memakai topeng muka di tempat sesak

Gejala jangkitan influenza biasanya bermula dengan demam panas secara tiba-tiba yang berlarutan antara tiga hingga empat hari diiringi rasa keletihan melampau dan sakit-sakit badan teruk dan juga sakit kepala.

Kebiasaannya, individu akan mengalami demam panas, yang mana suhu melebihi 38.5 darjah Celsius selain sakit kepala dan rasa keletihan keterlaluan. Mereka juga akan batuk dan selesema, selain rasa sesak nafas yang mana gejala ini boleh berlaku antara satu hingga tujuh hari. Tiada gejala hilang deria rasa bagi influenza.

Dari segi komplikasi pula, influenza boleh menyebabkan radang paru-paru kepada penghidapnya.


UJAR Dr. Nurul ‘Afiah, rawatan bagi influenza bergantung pada tahap jangkitan.

Apakah ubat yang paling berkesan untuk merawat jangkitan influenza pada masa ini dan adakah suntikan anti influenza memberikan jawapan terbaik bagi mencegahnya?

Rawatan untuk jangkitan influenza bergantung pada tahap jangkitan.

Jika individu yang dijangkiti adalah golongan berisiko tinggi dan mempunyai tanda-tanda komplikasi seperti sesak nafas, terlalu lemah dan lain-lain, individu terbabit seharusnya dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

Untuk kes sah influenza dari ujian swab yang dilakukan, ubat yang terbaik adalah antiviral dan juga ubat-ubatan bagi mengurangkan gejala dialami oleh individu dijangkiti.

Sementara itu, bagi kes jangkitan influenza yang tidak teruk pula, ubat antiviral oseltamivir adalah antara rawatan yang diberikan, selain ubat untuk mengawal gejala lain seperti ubat demam, ubat batuk, ubat sakit tekak dan sebagainya.

Individu yang menerima rawatan pesakit luar harus melakukan pengasingan sendiri di rumah sehingga gejala surut dan minum air yang mencukupi serta berehat.

Ia adalah antara langkah yang mesti diambil untuk memastikan pesakit dapat pulih sepenuhnya.

Suntikan vaksin influenza bukan digunakan sebagai rawatan, tetapi adalah sebagai langkah pencegahan daripada mendapat jangkitan, selain mengurangkan jangkitan melarat kepada komplikasi teruk.

Pada masa ini, orang ramai dikejutkan dengan kekurangan belakan ubat-ubatan terutamanya di klinik dan hospital swasta. Adakah keadaan ini turut menjejaskan ubat-ubatan bagi pesakit Influenza?

Ya, antara ubat-ubatan yang terkesan dengan kekurangan bekalan adalah ubat-ubatan untuk mengawal gejala atau simptom seperti ubat demam, batuk dan selesema.

Banyak orang mengatakan kesan influenza yang menjangkiti orang ramai terutamanya kanak-kanak kini lebih teruk berbanding virus Covid-19. Adakah benar dakwaan itu?

Ada kajian mendapati, gejala influenza adalah lebih teruk berbanding Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.

Namun berdasarkan data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, secara umum kadar kemasukan ke hospital dan komplikasi dalam kalangan kanak-kanak akibat jangkitan Covid-19 lebih tinggi berbanding influenza walaupun mungkin ada sedikit perbezaan dari kumpulan umur kanak-kanak.

Bagaimanapun, isu lebih besar di sini adalah, pertama, kedua-dua jangkitan ini menyebabkan komplikasi teruk pada kanak-kanak, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai latar belakang masalah kesihatan.

Kedua, kedua-dua jangkitan boleh dikawal penularannya dan komplikasi dengan mengambil suntikan vaksin seperti dianjurkan.

Ketiganya, elakkan berada di tempat awam jika tidak sihat, menjaga kebersihan, mengamalkan norma baharu dengan memakai pelitup muka secara rutin mampu mengurangkan potensi jangkitan.

Kebanyakan kes influenza yang merebak dikesan di sekolah-sekolah. Apakah faktor atau sebab utama virus berkenaan begitu cepat merebak dalam kalangan murid sekolah dan langkah yang perlu diambil bagi mengatasinya?

Seperti yang diketahui, jangkitan influenza atau flu merebak melalui kontak pada bendalir badan individu yang telah dijangkiti.

Faktor ini dan juga keadaan persekitaran persekolahan yang mengumpulkan ramai orang pada satu-satu masa.

Kemungkinan ketidakpatuhan pada pemakaian topeng muka dan pengabaian penjagaan kebersihan tangan menyebabkan flu sangat mudah merebak.

Apakah komplikasi paling teruk yang disebabkan oleh virus influenza jika lambat mendapatkan rawatan dan harapan pesakit untuk sembuh?

Jangkitan influenza boleh melarat jika menjangkiti individu yang berisiko tinggi iaitu kanak-kanak, orang tua, ibu mengandung, individu yang mempunyai masalah kesihatan termasuk imuniti rendah.

Antara komplikasi penyakit ini adalah termasuk radang paru-paru, radang otot jantung, radang otak dan bahkan boleh membawa maut.


MENURUT Dr. Nurul ‘Afiah, kuarantin adalah langkah terbaik untuk mencegah penularan influenza.

Bagi sesiapa yang dijangkiti, perlukah mereka mengasingkan diri daripada bertemu orang ramai seperti terkena Covid-19?

Tiada arahan wajib daripada Kementerian Kesihatan untuk mengkuarantin individu yang dijangkiti jangkitan influenza.

Bagaimanapun, kuarantin dan isolasi adalah salah satu langkah terbaik untuk mencegah penularan jangkitan.

Ini terutama jika individu yang dijangkiti adalah berisiko untuk menyebarkan jangkitan seperti kanak-kanak sekolah, pekerja kesihatan, penghuni institusi dan lain-lain lagi.

Bolehkan seseorang itu terkena jangkitan influenza dan Covid-19 secara serentak?

Jangkitan virus bertindan (dual infection) adalah jarang berlaku.

Bagaimanapun, tidak mustahil untuk dalam keadaan sekarang yang mana kita baru beralih dari fasa pandemik dan musim jangkitan influenza pula tiba.

Pemerhatian pakar setakat ini mengenai jangkitan bertindan ini menunjukkan, kadar kematian yang lebih tinggi dan komplikasi lebih teruk dan kes sebegini cenderung berlaku dalam kalangan individu yang mempunyai latar belakang masalah kesihatan dan juga tidak mendapat suntikan vaksin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN