DANOK – Tindakan Thailand menghalalkan penanaman dan penggunaan ganja turut menjadi punca kepada kejatuhan harga pasaran gelap dadah sintetik jenis pil yaba atau pil kuda di negara Gajah Putih tersebut.
Seorang pekerja hotel yang mahu dikenali sebagai Nasri, 40-an, mendakwa, kewujudan ramai ‘tukang bancuh’ pil berkenaan menjadi faktor lain menyebabkan kejatuhan harga dadah tersebut.
“Jika dahulu, harga sebiji pil yaba (pil kuda) mampu mencecah RM30 sehingga RM40, namun kini boleh dibeli pada harga RM4 hingga RM5 sebiji sahaja.
“Selain itu, saya percaya tindakan kerajaan Thailand menghalalkan penggunaan ganja dan ketum menyebabkan penagih mempunyai alternatif lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Nasri, dia sering ditanya pelancong dari Malaysia yang ingin mencari bekalan dadah di pekan Danok meskipun tidak terlibat dengan kegiatan pengedaran bahan khayal itu.
“Sejak sempadan antarabangsa dibuka, ada juga pelancong yang datang menginap di hotel dan bertanyakan bagaimana untuk mendapatkan bekalan tersebut dalam pasaran gelap.
“Suasana sejak beberapa bulan ini masih belum rancak seperti sebelum pandemik Covid-19, namun keadaan di sini perlahan-lahan semakin pulih sejak 1 April lalu,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan di sepanjang laluan dari Wang Kelian ke pusat bandar Satun mendapati produk berasaskan ganja dan ketum turut dijual di kawasan kampung.
Produk seperti air tenaga berasaskan bahan tersebut dijual di dalam botol di kedai-kedai runcit pada harga antara RM4 hingga RM6 seunit.
Dalam pada itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, tindakan menghalalkan ganja di Thailand dipercayai tidak memberikan kesan drastik kepada harga dadah jenis sintetik memandangkan ia digunakan untuk tujuan berlainan.
“Dadah sintetik terutama syabu atau nama kimianya methamphetamine masih merupakan dadah berjadual di Thailand dan sesiapa yang memiliki dan mengambilnya masih dianggap mengedar dan memiliki dadah berbahaya.
“Perbezaan dadah sintetik seperti Amphetamine Type Stimulant (ATS) dan ganja ialah ATS merangsang tenaga manakala marijuana berbentuk kemurungan, ia diambil untuk tujuan rekreasi dan berkhayal,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














