KOTA TINGGI – Kegiatan satu sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi menjadikan kawasan tersorok sebagai markas operasi akhirnya terbongkar selepas diserbu pasukan Polis Johor di Jeti Sungai Tiram, di sini, Ahad lalu.
Dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 1 pagi itu, seramai 19 ahli sindiket turut diberkas ketika sibuk memindahkan minyak diesel dari lori tangki ke kapal tangki yang bersauh di jeti berkenaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, individu yang diberkas terdiri daripda 11 warga tempatan serta lapan warga asing berusia antara 26 hingga 58 tahun.
Menurutnya, sindiket itu baharu sahaja sebulan beroperasi menjadikan lokasi tersorok, berpagar serta dekat dengan laut atau sungai sebagai tempat transit penyeludupan minyak diesel bersubsidi sebelum dipindahkan ke perairan antarabangsa.
“Dalam serbuan ini, pihak kita berjaya merampas tiga buah lori tangki berisi 122,000 liter diesel, sebuah kapal tangki, hos pam minyak serta lain-lain peralatan.
“Nilai diesel yang dirampas adalah RM390,400 dan nilai rampasan keseluruhan termasuk kapal tangki adalah RM10.7 juta,”katanya dalam sidang akhbar di Jeti Sungai Tiram di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, hasil maklumat awal, minyak-minyak ini akan dibeli dari stesen-stesen minyak dari seluruh negara pada harga RM2.50 bagi satu liter dan dijual balik pada harga RM3.50 seliter.-KOSMO! ONLINE