fbpx

Sepatu eksklusif bercirikan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perincian bunga pada kasut ini cukup comel dan klasik.

SAMA seperti tas tangan, kasut merupakan satu lagi aksesori pelengkap gaya yang perlu dipilih mengikut kesesuaian busana.

Selain rekaannya, penggayaan kasut juga perlulah selesa dan tidak membataskan pergerakan seharian.

Pemilihan material, potongan serta ketinggian yang tepat merupakan antara elemen paling penting dalam penghasilan sesbauh kasut.

Menyedari hakikat itu, seorang wanita kelahiran Kuala Lumpur mewujudkan jenama kasutnya sendiri yang mempunyai kesemua elemen penting yang perlu ada pada sepasang sepatu idaman.

Esther Tan Shen Hui, 25, menubuhkan jenama Machino pada 2020 ketika dunia dilanda pandemik dengan misi untuk mewujudkan seleksi kasut yang bukan hanya eksklusif tetapi juga inklusif dan meliputi kehendak orang ramai.

“Machino mahu menjadi satu jenama yang mampu memberikan pilihan kepada orang ramai daripada segi variasi saiz kasut dan warna yang sesuai dengan semua warna kulit.

“Malah, perkataan Machino itu juga berasal daripada gabungan perkataan MA untuk Malay, CH untuk China, IN untuk India dan O untuk others atau lain-lain,” ujarnya.

Pemilihan fabrik budaya seperti songket menyerlah keunikan sepatu Machino.

Seleksi kasut daripada jenama itu juga dihasilkan dengan menggunakan pelbagai jenis fabrik termasuk songket, broked China dan sari bagi menggambarkan masyarakat di negara ini yang berbilang bangsa.

Malah, rekaan kasut yang unik dan mencerminkan negara Malaysia juga menjadi pertaruhan Esther yang mahukan produknya itu dijadikan buah tangan untuk pelancong luar.

“Bukan terhad kepada pelanggan dalam negara sahaja, saya juga mahukan kesemua kasut Machino ini menjadi produk buah tangan yang boleh dibawa pulang oleh pelancong luar sebagai salah satu produk yang melambangkan Malaysia,” katanya.

Rekaan kasut bertumit tinggi, separa tinggi dan juga bertumit rendah dengan perincian tertentu seperti bunga kelihatan cukup comel dan klasik.

Ia sesuai digayakan dengan pelbagai busana sama ada kasual mahu pun dengan pakaian tradisional.

Ujar Esther, dia banyak mempelajari teknik dan cara pembuatan kasut merusi bapa saudaranya yang juga merupakan ketua bahagian pembuatan untuk Machino.

“Bapa saudara saya banyak mengajar dan menunjukkan kepada saya seni penghasilan kasut bagi mendapatkan sepatu yang bukan sahaja cantik tetapi juga selesa dan bersifat praktikal.

“Selain itu, ada juga natara rekaan yang dihasilkan di Machino diinspirasikan daripada busana klasik yang dijahit oleh ibu saya,” katanya yang baru-baru ini melancarkan koleksi Shades of You.

Menerusi koleksi Shades of You, Machino menampilkan kasut yang akan menyerlahkan lagi warna kulit pemakai.

Sehingga kini, Machino sudah pun mengeluarkan sebanyak 12 rekaan dan rekaan yang menjadi kegemaran Esther adalah rekaan yang dipanggil The Kuih Party memandangkan ia menggambarkan kepelbagaian jenis kuih yang ada di negara ini.

Ujar Esther, biarpun dia bersedia untuk meneroka gaya baharu bagi penghasilan koleksi seterusnya, Machino masih akan mengekalkan keselesaan dan gaya inklusif bagi memastikan seleksi kasut tersebut boleh digayakan oleh semua wanita.

Koleksi kasut Machino boleh dibeli secara online menerusi laman web www.machino.com.my, Instagram @itsmachino atau di kedainya yang terletak dalam Parkson Elite di pusat beli-belah Pavilion.

Kesemua koleksi dijual pada harga antara RM138 hingga RM258 mengikut jenis dan rekaan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI