fbpx
SAMAD (kanan) termenung memikirkan nasib golongan penjaja OKU sepertinya yang terbeban dengan kos barangan meningkat ketika ditemui di PPR Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur baru-baru ini.

‘Tinggal RM50 lepas bayar komitmen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – “Kami turut merasai kesukaran, sehingga duit hanya tinggal RM50 setiap bulan selepas membayar segala komitmen bulanan untuk keluarga.”

Demikian luahan Samad Othman, 60, yang merupakan penjaja kecil orang kelainan upaya (OKU) yang berniaga di tepi jalan berhampiran Stesen LRT Awan Besar, Kuala Lumpur yang turut terbeban dengan kenaikan kos sara hidup serta barangan runcit ketika ini.

Ujarnya, setiap hari dia bersama isteri tetap turun berniaga menjual air kelapa, ayam goreng dan aneka makanan ringan lain bagi menyara diri dan keluarga.

“Kami golongan penjaja kecil ini juga ada komitmen seperti perlu membayar minyak kereta, sewa rumah serta perbelanjaan persekolahan anak-anak.

“Namun, saya turut merasai kesukaran itu sehingga duit hanya tinggal RM50 setiap bulan selepas membayar segala komitmen bulanan untuk keluarga,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah.

Ujarnya, keadaan itu dirasai kebanyakan peniaga kedai makan serta penjaja kecil yang di­selubungi dilema menjalankan perniagaan susulan kenaikan kos sara hidup serta barangan runcit.

“Kami penjaja kecil juga bergelut setiap hari untuk mendapatkan bahan mentah seperti tepung, minyak masak dan ayam yang harganya makin mahal termasuk perbelanjaan harian,” katanya.

Bapa kepada lima cahaya mata itu bangkit berniaga selepas diuji dengan kemalangan langgar lari pada 2019 sehingga mengalami kecederaan pada bahagian paha kanan mengakibatkan lelaki itu terpaksa menggunakan kerusi roda selama setahun dan tempang.

Selepas pulih, Samad menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di tepi jalan, namun tidak mendapat hasil yang memuaskan ekoran kos sara hidup yang kian meningkat.

“Sekarang berniaga susah kerana harga barangan semakin naik. Saya berniaga ayam goreng RM1 berasa terbeban susulan harga borong bahagian kepak ayam meningkat dari RM7.50 kepada RM10.50.

“Selain itu, harga air tin yang dibeli secara borong turut naik sebanyak RM10 daripada RM20 menjadi RM30. Nak naikkan harga jualan nanti pelanggan lari,” katanya.

Sementara itu, Rukaiyah Yunus, 44, yang merupakan peniaga kuih turut merasai bebanan kos sara hidup tinggi di ibu kota.

RUKAIYAH yang merupakan golongan OKU tetap gigih menjual kuih muih bagi menyara kehidupannya meskipun dibebani dengan kenaikan kos barangan ketika ini.

Ibu kepada empat cahaya mata yang juga merupakan golo­ngan OKU di bahagian kaki itu berasa terkilan kerana terpaksa mencatu bahan-bahan mentah untuk dibeli bagi membuat kuih.

“Keuntungan berniaga setiap hari amat rendah tidak sampai RM20, duit yang tinggal saya gunakan untuk membeli barangan perniagaan.

“Akibat harga barangan mentah semakin tinggi, saya terpaksa memilih barangan mentah yang penting dahulu seperti minyak masak dan tepung,” katanya.

Ujarnya, minyak peket juga amat sukar untuk didapati jadi dia terpaksa membeli minyak masak botol yang lebih mahal.

“Sebelum ini, saya membeli minyak masak dengan harga sekitar RM30, namun sekarang terpaksa belanja sehingga RM40.

“Kadang-kadang saya terpaksa menggunakan bahan membuat kuih seperti gula dalam kuantiti yang kecil mengakibatkan pelanggan merungut kuih saya tidak mempunyai rasa yang manis seperti biasa,” ujarnya.

Wanita itu turut diuji dengan suami yang mempunyai penyakit kencing manis serta darah tinggi dan lelaki itu hanya mampu be­kerja sebagai tukang sapu di sekitar kawasan kediaman mereka.

Dalam pada itu, Rukaiyah turut mendedahkan dia baru-baru ini tertipu dengan salah seorang pelanggan yang membeli kuihnya menggunakan duit palsu.

“Pelanggan itu menggunakan duit palsu RM100 untuk membeli kuih sebanyak RM20. Jadi, saya memulangkan baki sebanyak RM80.

“Selepas cuba untuk membeli bahan mentah di kedai runcit berhampiran rumah, saya dimarahi juruwang kerana wang RM100 itu duit palsu,” ujarnya.

Jelasnya, dia menangis me­ngenangkan nasibnya susulan hasil titik peluh berniaga hilang sekelip mata.

Katanya, dia hanya mampu kuatkan semangat demi anak-anak dan tetap cuba bertahan walau diuji sedemikian rupa. -KOSMO! ONLINE

POPULAR