fbpx
NURAFIQAH menunjukkan dekorasi restoran Motowarung di Bandar Perda dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mengetengahkan barangan-barangan klasik atau vintaj.

Barangan lama tarik pelanggan ke restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam restoran yang terletak di Bandar Perda dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu, pengunjung pasti tidak berkelip mata melihat dekorasi unik yang dipamerkan si pemiliknya.

Manakan tidak, di segenap ruang premis itu dilihat sarat dengan koleksi barangan antik seperti motosikal-motosikal lama, radio, gambar lama serta lain-lain barangan dan perkakasan yang mempunyai nilai sentimental tersendiri untuk tatapan pelanggan.

Dinamakan Motowarung, ia jelas menggambarkan apa antara elemen utama atau keunikan yang dipertaruhkan dan bakal disaksikan.

Bercakap kepada Panorama, pemilik restoran Motowarung, Nurafiqah Abdul Mutalib, 33, berkata, idea tersebut tercetus setelah mendapat inspirasi daripada bengkel motosikal klasik di Bukit Tengah yang diusahakan suaminya, Mohamad Aidzam Safwan Alias, 31, yang mahir membaiki Vespa dan Lambretta.

“Hasil daripada inspirasi itu, saya dan suami selaku pemilik bersama Motowarung mengambil keputusan mewujudkan kedai makan berkonsepkan dekorasi barangan antik selain menawarkan menu masakan kampung pada Disember tahun lalu,” katanya.

Jelas ibu kepada dua cahaya mata itu, antara koleksi terdapat di premis terbabit termasuklah motosikal klasik jenis KTNS 250, motosikal jenis ‘chopper’ dari Indonesia, radio vintaj jenama Williams, papan tanda lama, peti besi, botol minuman kaca, topi keledar antik, koleksi sudu tembaga antik, pita kaset lama, basikal kanak-kanak serta kereta mainan yang rata-ratanya berusia 50 tahun.

“Koleksi ini kebanyakannya dibeli suami di kedai barangan antik seperti pasar karat dan ada juga dibeli daripada pelanggan memandangkan suami juga seorang kolektor (barangan antik). Dengan minat yang ada, dia cuba jadikan koleksi tersebut sebahagian daripada pameran di Motowarung,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

PARA pengunjung menjamu selera sambil menikmati suasana retro menerusi pameran barangan-barangan lama.

Mengulas lanjut, Nurafiqah berkata, sehingga kini jumlah koleksi barangan antik yang ada di kedai dan bengkel motosikal suaminya mencecah hampir 100 buah koleksi. Malah, pada setiap bulan dia akan mengubah dekorasi dengan menggantikan barangan antik lain bagi mencipta suasana baharu di kedai tersebut.

“Setiap bulan saya akan pastikan dekorasi kedai ini berubah-ubah demi mencipta ‘mood’ baharu. Di bengkel suami pula terdapat enam buah motosikal klasik yang tersimpan untuk dipamerkan di Motowarung termasuklah motosikal berkuasa tinggi yang pernah digunakan anggota polis trafik suatu ketika dahulu.

“Untuk mengekalkan konsep dekorasi kedai, saya turut menggunakan meja makan dan kerusi lama diperbuat daripada besi. Tidak dinafikan, kualiti meja makan dan kerusi besi zaman dahulu lebih tahan lama berbanding sekarang,” katanya.
Wanita berasal dari Permatang Pauh itu menambah, kos untuk menjadikan Motowarung kelihatan seperti sekarang adalah dianggarkan sebanyak RM70,000.

“Saya lihat perniagaan ini adalah satu pelaburan jangka panjang kerana merasakan bidang ini boleh pergi jauh. Tidak kisah berapa kosnya asalkan apa yang diusahakan ini mendapat kepuasan di hati pelanggan, yang selama ini tidak putus-putus memberi sokongan selain keluarga dan warga kerja Motowarung,” katanya yang mempunyai enam orang pekerja.

Antara hidangan istimewa di Motowarung termasuklah set nasi ikan cencaru, set nasi ikan bawal, asam pedas daging dan air sarbat hasil resipi ciptaan ibunya.

“Di bahagian dapur, saya berperanan sebagai tukang masak, malah suami juga akan membantu saya di dapur jika tidak bekerja di bengkel,” katanya yang menjadikan bapanya, seorang usahawan Abdul Talib Ismail, 57, sebagai idola kerana banyak memberi tunjuk ajar kepadanya dalam selok- belok dunia perniagaan.

Sementara itu, tidak seperti golongan muda yang meminati motosikal canggih, moden dan terkini seperti motosikal berkuasa tinggi dan seangkatan dengannya, Mohamad Aidzam lebih meminati motosikal bercirikan retro ataupun klasik kerana dikatakan lebih ‘kena pada jiwanya’.

MOHAMAD AIDZAM (kiri) bersama beberapa peminat barangan lama berkumpul untuk menghimpunkan item-item vintaj di pekarangan restoran Motowarung baru-baru ini.

Disebabkan minat yang mendalam terhadap motosikal lama, dia tidak teragak-agak menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran membaiki motosikal Vespa.

“Habis sekolah, saya sambung belajar sebagai specialist membaiki Vespa di ibu negara sebelum mengambil keputusan untuk mengusahakan sebuah bengkel motosikal Vespa secara serius,” katanya.

Mohamad Aidzam yang mengusahakan kedai membaiki Vespa dan Lambretta sejak enam tahun lalu di Bukit Tengah berkata, dia juga mempunyai koleksi motosikal Yamaha SR400 (tahun 1979), Suzuki GS 550 (tahun 1981) serta dua buah Vespa masing-masing dari keluaran tahun 1968 dan 1972.

Mengenai kedai makan yang diusahakannya bersama isteri, dekorasi bertemakan barangan lama itu disifatkan memberikan kelainan.

“Saya ada pasang cita-cita, satu hari nanti nak buka kedai makan bersebelahan dengan bengkel motosikal yang bercirikan kafe motor.

“Namun, buat masa sekarang kami buka kedai secara berasingan dahulu atas sebab tertentu. Mungkin jika diberi keizinan kami akan realisasikan impian tersebut,” katanya yang juga merupakan penganjur program Vintage Malaysia Gathering.


PEKARANGAN Motowarung dikunjungi para peminat item vintaj pada program Vintage Malaysia Gathering.

Jelasnya, selain mengusahakan restoran dan bengkel, dia giat mengadakan program seperti pameran motosikal klasik dan barangan vintaj buatan Malaysia di sekitar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN