fbpx

Jumlah pengundi berdaftar Pemilu berkurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk menunjukkan kertas undian semasa Pemilu 2019. - Kompas

JAKARTA – Jumlah pengundi Pilihan Raya Umum (Pemilu) Indonesia yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) setakat Jun lalu didapati menurun berbanding Disember 2021, lapor laman berita Tribunnews, kelmarin.

Anggota Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), Betty Epsilon Idroos berkata, berdasarkan hasil Kemas Kini Data Pengundi Lestari yang dijalankan setakat Jun lalu, terdapat 190,022,169 pengundi berdaftar.

“Terdapat penurunan jumlah pengundi sebanyak 637,179 orang jika dibandingkan dengan Disember 2021 yang berjumlah 190,659,348,” kata Betty.

Beliau menjelaskan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan senarai pengundi setakat Jun 2022 menurun.

Antaranya adalah terdapat pengundi lama dan baharu yang tidak memenuhi syarat semasa proses pengemaskinian.

Berdasarkan data KPU, terdapat 1,215,318 pengundi tidak memenuhi syarat selain 818,302 lagi menukar data seperti tempat tinggal.

“Selain itu, jumlah pendaftaran pengundi baharu adalah 578,139 orang,” sambung Betty.

Mengenai komposisi pengundi, KPU menyatakan bahawa jumlah pengundi lelaki dan perempuan boleh disifatkan seimbang. Pengundi wanita adalah berjumlah 95,829,962 (50.1 peratus), manakala lelaki seramai 95,193,207 (49.9 peratus) orang.

Pemilu akan berlangsung pada 14 Februari 2024 selepas Presiden Joko Widodo atau Jokowi menamatkan perkhidmatan dua penggal wajibnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI