fbpx

Stor haram simpan 15,000 liter minyak diesel bersubsidi diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lori tangki yang dipercayai digunakan sindiket untuk memindahkan minyak diesel bersubsidi ke dalam sebuah stor haram di Kampung Baru Sungai Nipah di sini hari ini. /FOTO IHSAN KPDNHEP

PORT DICKSON – Sebuah stor haram yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan sebanyak 15,000 minyak diesel bersubsidi terbongkar hasil serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan di Kampung Baru Sungai Nipah, Port Dickson di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd. Muis Samsudin berkata, ketika serbuan pada pukul 1.15 petang itu, pasukan penguat kuasa mendapati terdapat dua buah lori tangki berada di perkarangan kawasan berkenaan dalam keadaan yang mencurigakan.

“Terdapat hos-hos bagi kerja-kerja pemindahan minyak diesel dikesan daripada tangki lori tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 15,000 liter minyak diesel di dalam kedua-kedua lori tangki berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd. Muis berkata, semakan awal juga mendapati premis yang diserbu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel.

“Berdasarkan risikan yang telah dijalankan selama seninggu, terdapat aktiviti pembelian diesel daripada stesen minyak oleh lori tangki berkenaan dan disyaki berlaku aktiviti penghantaran serta penyimpanan di lokasi serbuan.

“Maklumat awal mendapati stor berkenaan telah beroperasi sebagai tempat penyimpanan minyak diesel bersubsidi sekitar enam bulan,” katanya.

Menurut Abd Muis, hasil serbuan tersebut telah menyita sebanyak 15,000 liter minyak diesel, dua buah lori tangki dan peralatan digunakan untuk kerja-kerja pemindahan diesel bagi tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM92,250.

“Bagaimanapun, tiada suspek atau individu yang bertanggungjawab ditemui di tempat kejadian.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan ditempat yang tidak dilesenkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI