DERETAN anugerah sudah digenggam, aneka pentas telah ditakluk, malah figura seni yang satu ini turut menjadi pilihan bintang rap dunia, Snoop Dogg untuk bekerjasama dalam album terbaharunya.
Kolaborasi dengan ramai penghibur luar yang memperjuangkan genre sama termasuk Warren G dan Jay Park juga membuktikan Joe Flizzow sebagai ikon rap tempatan yang ampuh.
Pemegang portfolio penyanyi merangkap komposer dan penerbit itu nyata semakin sempurna seiring perjuangam yang melepasi dua dekad dalam arena seni.
Maka tidak hairanlah dia dianggap antara pelonjak gelombang hip-hop di negara ini yang menghasilkan setiap dendangan dengan penuh teliti serta punya cerita tersendiri.

Satu Malam Di Temasek
Terbaharu, pemilik nama sebenar Johan Ishak itu kembali dengan satu lagi karya ‘masterpiece’ berjudul Satu Malam Di Temasek yang diwarnai kiasan.
“Satu Malam Di Temasek bagai fragmen kisah perjalanan kehidupan saya bermula daripada budak nakal hingga kini matang dan melalui pula fasa perkahwinan.
“Segalanya diterjemahkan dalam lagu ini yang juga bentuk nasihat untuk diri sendiri. Walaupun tunjang utama menjurus terhadap mesej, garapan nukilan masih meraikan kehidupan.
“Jika saya gambarkan karya ini dalam bentuk perumpamaan Melayu, kata-kata yang sesuai adalah hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.
“Bagi saya, semua yang dikejar bersifat material dan tidak boleh dibawa ke ‘sana’. Secara tidak langsung Satu Malam Di Temasek mengingatkan saya bahawa dunia hanya sementara,” katanya.

Cakap berlapik
Berbeza dengan gubahan terdahulu yang menonjolkan sisi lantang darah muda, pada usia yang melepasi garis 43, Joe akui santunan lirik lagunya sekarang lebih berlapik.
Begitupun, bait seni kata dalam single yang dihasilkan bersama teman terdekat, SonaOne masih terselit unsur teguran kepada semua lapisan pendengar terutama orang muda.
“Setiap insan melalui transisi dalam kehidupan, begitu juga diri saya. Mungkin dahulu saya lebih ‘loud’ disebabkan masih muda. Jadi kebanyakan lagu sebelum ini kedengaran lantang.
“Apa pun dalam setiap dendangan yang saya hasilkan punya cerita, cuma seni kata kali ini bersama intonasi lebih lembut, berkias dalam teguran selain turut membawa pendengar ke era lampau.
“Sebenarnya saya teruja apabila dapat berkongsi kisah lalu sambil diselitkan peringatan dengan menggunakan kata-kata kiasan yang barangkali dapat mengingatkan kita tentang keindahan kiasan.
“Hakikatnya muzik hip-hop juga seperti fesyen, tiada benar atau salah dalam menyampaikan patah bicara mahupun mesej sama ada mahu dilontar secara berhemah atau kedengaran kasar, asalkan inti patinya sampai,” katanya lagi.

Pernah dibayar RM70
Baru selesai menjayakan persembahan di Singapura, Joe juga tidak mampu menyembunyikan rasa teruja dapat beraksi secara langsung bersama peminat di The Bee, Publika, baru-baru ini.
Bertepatan dengan judul lagu, selepas Kota Singa, dia mengakui lebih selesa kembali beraksi di pentas kecil biarpun sudah lebih dua dekad menakluk gelanggang gah.
Luahnya, dia mahu membawa peminat mengimbau kenangan ketika zaman permulaannya bertapak dalam industri menerusi gig kecil dan menerima bayaran murah.
“Ada yang bertanya kenapa tak buat di lokasi lebih besar? Sebenarnya ini umpama membawa penonton melewati mesin masa. Bukan bererti lokasi ini secara spesifik menjadi tempat saya bermula, tetapi simboliknya saya bermula di lokasi yang kecil.
“Gig pertama saya ketika itu bermula bersama Too Phat. Kami muncul bertiga iaitu saya, Malique dan seorang lagi kawan, Kevin. Dahulu kalau ada gig, kami dapat RM1 daripada setiap pembelian tiket.
“Saya masih ingat bayaran ‘show’ pertama berjumlah RM895.
“Acara kedua, kami dapat RM70 dan perlu dibahagikan kepada tiga bahagian. Nak dijadikan cerita, Kevin kehilangan dompetnya dan kami beri RM70 itu kepadanya.
“Apabila diingat kembali, insiden tersebut menjadi momen lucu, sekali gus menunjukkan semangat setia kawan. Dari situ juga buat kami menghargai persahabatan selain mensyukuri setiap sen yang diperoleh,” katanya mengimbau kenangan.

Misi jelajah
Berkongsi mengenai impiannya, Joe berharap diberikan rezeki mengadakan siri jelajah ke beberapa lokasi di seluruh negara sebelum merealisasikan konsert berskala mega yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.
“Untuk siri jelajah tersebut, tak kisah sama ada kecil atau besar, kerana itu sememangnya impian besar saya tahun ini dengan perancangan sekurang-kurangnya singgah di lapan buah bandar di seluruh negara.
“Saya takkan lupa permulaan tempat bertapak malah mahu merasai kembali semangat lalu. Dapat jumpa semula peminat lama serta meraikan pendengar hip hop baharu menjadi misi jelajah ini.
“Selepas selesai singgah di bandar, kemudian saya bersama pasukan tumpukan pula konsert yang dirancang pada Oktober depan.
“Ini adalah persembahan berskala besar yang akan menjadi kemuncak dalam karier saya. Lokasi serta perincian lain akan dikongsikan tidak lama lagi,” katanya.
Panaskan The Bee
Sementara itu, persembahan khas di The Bee yang berdurasi satu jam setengah tempoh hari meraih kehadiran lebih 700 penonton yang setia menunggu seawal pukul 8.30 malam.
Antara hit yang dipersembahkan adalah Jampi, Havoc, Baek dan Kongsi selain duet beberapa buah lagu lain bersama artis jemputan, Orang Lain menyatu dengan Yonnyboii dan Tepi Sikit serta Sampai Jadi (Alyph).
Tambah memanaskan pentas, beberapa rakan seperjuangan lain turut tampil menghangatkan malam tersebut iaitu Gard, Pele L dan Fuego.
Satu Malam Di Temasek sudah pasti berada dalam repertoir persembahan yang membawa penonton bersama-sama menghayati mesej positif mengenai kehidupan bersifat sementara.

Masih ‘old school’
Pada masa sama, projek album baharu juga berada dalam senarai wajib pemilik Kartel Records itu selepas kali terakhir tampil dengan album solo kedua, Havoc hampir sedekad lalu.
Sebelum itu, Joe yang bersama Too Phat sejak 1998 meneruskan karier secara sendirian tampil bersama buah tangan pertamanya pada 2008 menerusi album President.
Katanya, sehingga kini lebih 20 buah lagu sudah disempurnakan dan ada antaranya dikeluarkan sebagai single sebelum melalui proses penerbitan sebagai album.
“Boleh dikatakan saya masih dalam kategori ‘old school’ yang suka mendengar album penuh tidak kira siapa pun penyanyi demi kepuasan maksimum.
“Rasa yang sukar dirungkaikan. Contohnya baru-baru ini saya dan isteri memandu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. Dalam perjalanan saya dengar album SonaOne.
Banyak lagunya yang buatkan saya seakan-akan tersedar.
“Ibarat rentetan sebuah naskhah. Hanya dengan mendengar satu album kita lebih faham penceritaan sesebuah naskhah, berbanding mengikuti satu atau dua single sahaja.
“Secara tidak langsung perkara tersebut semakin menguatkan hasrat saya merealisasikan album ketiga.
“Walau ambil masa lama, tidak menjadi masalah kerana saya yakin hasilnya berbaloi.
“Bukanlah saya meminggirkan jualan lagu menerusi aplikasi muat turun. Kedua-duanya sama penting, sama ada secara strategi bisnes mahupun portfolio,” tutup Joe.














