KUALA TERENGGANU – Orang ramai dilihat masih berjaga-jaga dalam berbelanja termasuk membeli barangan kemas meskipun harga emas menyusut di bawah RM240 segram pada Khamis lalu.
Peniaga emas, Zakaria Yusof berkata, sambutan daripada pelanggan yang membeli emas ketika ini walaupun pada musim perayaan Aidiladha agak perlahan berbanding pada Hari Raya Aidilfitri pada Mei lalu.
“Walaupun pada hujung minggu, pelanggan yang membeli emas berkurangan mungkin disebabkan faktor ekonomi lebih-lebih lagi dengan harga barangan keperluan yang tidak menentu ketika ini.
“Walaupun begitu, saya tetap menaruh harapan agar pelanggan akan kembali membeli emas berikutan harga rendah ketika ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Zakaria memberitahu, harga emas di Terengganu adalah antara terendah di dalam negara dan trend penurunan yang sedang berlaku ketika ini amat ketara.
Jelas lelaki itu, harga emas jatuh mendadak sebanyak RM15 segram dalam tempoh seminggu berbanding RM260 segram pada minggu sebelumnya.
“Harga emas menunjukkan trend penurunan sebanyak RM1 hingga RM2 setiap hari sepanjang minggu ini.
“Saya menjangkakan harga emas akan terus merundum tidak lama lagi berdasarkan situasi ekonomi pada masa kini,” katanya.
Harga jualan emas turun kepada paras terendah sejak Khamis lalu iaitu RM245 segram berbanding RM260 pada minggu sebelumnya.














