fbpx

‘Tanpa sedar, kita makan mikroplastik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD FIRDAUS FAHMI JUNAIDI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Pada Mei lalu, Kosmo! memetik akhbar Daily Mail melaporkan mengenai sekumpulan saintis di Belanda yang pertama kali mene­mui mikroplastik atau kepingan plastik halus berdiameter kurang daripada 0.0007 milimeter dalam darah manusia.

Sebulan selepas itu, saintis-saintis di Britain menemui mikro­plastik di dalam paru-paru manusia hidup buat pertama kali, sekali gus menjadi kebimbangan yang semakin meningkat mengenai ancaman kepada kesihatan manusia dan makhluk hidup lain.

Tiada lagi alasan untuk menu­ding jari kerana manusia sendiri yang telah mencemarkan Bumi dengan penggunaan plastik.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khairiatul Mardiana Jansar berkata, lebih 400 juta tan plastik dihasilkan manusia di seluruh dunia pada setiap tahun.

“Dianggarkan satu pertiga daripada semua sisa plastik akan berakhir dalam ekosistem daratan (tanah) atau air tawar. Plastik akan hancur menjadi zarah yang lebih kecil daripada lima milime­ter (mm) menjadi mikroplastik.

“Mikroplastik akan terus terurai jauh lebih kecil bersaiz nano iaitu kurang daripada 0.1 mi­krometer (µm). Terdapat kajian yang menyatakan pencemaran mikroplastik di darat jauh lebih tinggi berbanding lautan dengan anggaran 4 hingga 23 kali ganda.

“Pencemaran mikroplastik di darat menyebabkan penurunan spesies hidupan di bawah permukaan tanah seperti hama dan larva yang berfungsi mengekalkan kesuburan tanah,” jelasnya.

Beliau bersama kumpulan penyelidik di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi UKM telah menjalankan kajian berkaitan mikroplastik. Mereka berjaya menemui mikroplastik di dalam air paip, air minuman botol, garam serta hidupan kerang dan kupang.

Pegawai Penyelidik Kanan Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mageswari Sangaralingam pula berkata, mikroplastik yang berada di alam sekitar akan mencemari rantaian makanan di daratan dan perairan.

“Mikroplastik akan memekatkan toksik yang sudah wujud di alam sekitar sehingga mendedahkan haiwan dan manusia secara langsung atau tidak.

“Berdasarkan bukti ketara mengenai kesan buruk terhadap hidupan marin, saintis telah menyuarakan kebimbangan bahawa pendedahan kepada mikroplastik boleh menyebabkan kesan radangan, keracunan gen, penyakit kronik dan penyakit autoimun kepada manusia.

Oleh itu, beliau berpendapat, manusia memerlukan penyele­saian yang menyeluruh bagi menangani semua aspek kitaran plastik.

“Pembungkus plastik merang­kumi 42 peratus daripada penghasilan semua plastik. Kajian menunjukkan penggunaan biasa bungkusan plastik untuk makanan akan merembes mikroplastik dan nanoplastik ke dalam makanan dan minuman manusia.

“Masyarakat perlu mengurangkan penggunaan plastik de­ngan mengamalkan perubahan yang sistematik termasuk me­ngutamakan barangan tahan lama dan boleh diguna semula.

“Sistem penghantaran guna semula atau isian semula memainkan peranan penting dalam membendung pencemaran plastik, mengurangkan risiko kesihatan yang dikaitkan dengan pendedahan kepada bahan toksik serta mengelakkan pengeluaran gas rumah hijau,” ujarnya.

Beliau juga menasihati semua pihak untuk mengurangkan pencemaran plastik yang akan menjadi zarah halus dengan mengambil pelbagai langkah termasuk kitar semula plastik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI