OTTAWA, KANADA – Kerajaan Kanada akan membuang kira-kira 13.6 juta dos vaksin Covid-19 jenama AstraZeneca selepas tiada pihak mahukan pelalian tersebut, sama ada di dalam atau luar negara, lapor akhbar Metro UK semalam.
Ottawa menandatangani kontrak dengan pengeluar pada 2020 untuk mendapatkan 20 juta dos vaksin AstraZeneca.
Sekurang-kurangnya 2.3 juta rakyat Kanada telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin AstraZeneca, kebanyakannya antara Mac hingga Jun 2021.
Namun, kebimbangan tentang kemungkinan gejala darah beku dan dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca mendorong kerajaan Kanada mengalihkan tumpuan kepada vaksin jenis mRNA daripada jenama Pfizer-BioNTech serta Moderna.
Pada Julai 2021, Kanada menyatakan janji untuk menyumbangkan baki bekalan vaksin Covid-19 AstraZeneca yang telah diperoleh iaitu kira-kira 17.7 juta dos kepada negara-negara lain.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Kesihatan Kanada berkata, meskipun pelbagai usaha telah dilakukan untuk memenuhi janji itu, sebanyak 13.6 juta dos telah tamat tempoh dan perlu dibuang.
“Disebabkan permintaan terhadap vaksin AstraZeneca terhad dan cabaran yang perlu ditempuh oleh negara-negara melibatkan aspek pengagihan, vaksin sedia ada tidak dapat diedarkan,” kata kenyataan tersebut.
Sebanyak 8.9 juta dos vaksin AstraZeneca telah disumbangkan oleh kerajaan Kanada, dengan 4.8 juta adalah daripada bekalan utamanya, manakala 4.1 juta lagi dibeli menerusi program perkongsian vaksin, COVAX.
Setakat ini, sekitar 85 peratus rakyat negara itu telah menerima vaksinasi lengkap Covid-19 berbanding 61 peratus populasi dunia serta 16 peratus penduduk di negara-negara miskin. – Agensi