BENTONG – Selepas dilanda beberapa kejadian banjir sejak hujung tahun lalu, Janda Baik terus terkesan sehingga menjejaskan keindahan pusat peranginan terkenal itu.
Selain air yang tidak sejernih dahulu, proses mendalamkan sungai juga dilihat menyebabkan struktur semula jadi aliran sungai di kawasan itu lenyap.
Malah, apa yang lebih ‘menakutkan’ apabila sungai-sungai didalamkan menjadi bagai ‘jerangkap samar’ apabila bongkah-bongkah batu yang dilonggokkan di tebing sungai menunggu masa untuk jatuh.
Tinjauan Kosmo! mendapati, selain air yang tidak sejernih dahulu, bongkah-bongkah batu di tebing sungai berisiko ‘tergolek’ sekali gus memberikan risiko keselamatan kepada orang ramai.
Seorang pengunjung Meor Difan Raziz Yazid, 36, berkata, selepas kali terakhir datang ke situ dua tahun lalu dia amat terkejut apabila melihat keadaan sungai di situ yang banyak berubah.

“Saya datang ke sini bersama keluarga dan anak-anak untuk mandi dan keadaan sungai tidak lagi landai dan batuan semula jadi di dalam sungai sudah tiada. Kalau dahulu tidak payah jaga budak-budak mandi kerana air tidak deras kerana ada batuan semula jadi tetapi sekarang kena sentiasa berjaga.
“Malah, saya amat risau keselamatan anak-anak yang bermain di tepi bongkah batu besar yang boleh bergolek dan menimpa. Budak-budak juga suka memanjat batu berkenaan, macam mana hendak alihkan batu besar seperti ini kalau terjatuh,” katanya yang berasal daripada Shah Alam, Selangor.
Tambahnya, batu-batu yang diletakkan di tebing sungai itu juga dalam keadaan tidak stabil menyebabkan dia beberapa kali tergelincir ketika berjalan di tebing sungai berkenaan.

Dalam pada itu seorang lagi pengunjung Idayu Che Yaakob, 39, berkata, dia berharap air sungai di situ dapat kembali jernih seperti beberapa tahun lalu.
“Kalau dahalu kami boleh ‘snorkeling’ tetapi sekarang tidak lagi kerana air tidak berapa jernih, jadi kami hanya mandi sahaja kerana sudah datang ke sini,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk asal Janda Baik, Mat Sabri Ahmad Malik,63, ketiadaan pemantauan semasa proses mendalamkan sungai menyebabkan proses mendalamkan sungai dilakukan sewenang-wenangnya tanpa ada sebarang standard ditetapkan.
Katanya, batu-batu diletakkan ditebing sungai tanpa dimampatkan menyebabkan ia mudah bergolek dan jatuh ke dalam sungai sekali gus memberikan risiko keselamatan pula.
“Kalau dipijak dan ditolak ada antara batu-batu ini boleh terjatuh dan kalau hujan mungkin lagi mudah beralih, macam tiada standard keselamatan,” tambahnya.














