fbpx

Polis Selangor, LZS jalin kerjasama program taksir zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arjunaidi menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Mohd. Sabirin (tengah) pada Jelajah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Bulan Taksir Zakat 2022, di sini hari ini.

SHAH ALAM – Polis Selangor bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) melaksanakan program taksiran zakat bagi menentukan kadar sebenar yang perlu ditunaikan warga pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, taksiran itu penting dalam mengetahui kadar sebenar zakat berdasarkan jumlah pendapatan yang diterima.

Katanya, zakat merupakan kewajipan yang perlu ditunaikan umat Islam berkemampuan termasuk pegawai atau anggota polis.

“Ia bukan hanya meliputi zakat fitrah, malah banyak kategori lain seperti zakat harta dan zakat pendapatan.

“Justeru, taksiran membantu menentukan kadar sebenar zakat yang perlu ditunaikan dan program ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin warga kontinjen polis Selangor,” katanya selepas melancarkan Jelajah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Bulan Taksir Zakat 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Kata Arjunaidi, kerjasama itu dapat memberi pendedahan berkaitan rukun Islam keempat sebagai usaha penyucian harta dan jiwa.

“Saya berharap semua Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah menyarankan warga polis supaya menunaikannya melalui potongan gaji,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, pihaknya berharap program itu membantu sasaran kutipan zakat melebihi RM1 bilion tahun ini.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk memberi penerangan terperinci mengenai kadar sebenar zakat yang perlu ditunaikan setiap individu.

“Alhamdulilah, kutipan zakat sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini meningkat berbanding tahun lalu dan berharap momentum positif itu berterusan,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI