fbpx

KKM syor dos ketiga untuk kanak-kanak dan remaja berisiko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan supaya dos ketiga diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dan remaja 12 hingga 17 tahun yang mengalami imunokompromi sederhana atau teruk di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, syor dan cadangan itu dikeluarkan selepas dibincangkan dan diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) bagi Vaksin Covid-19.

“Kajian keberkesanan dua dos vaksin terhadap remaja di luar negara mendapati tahap keberkesan vaksin terhadap golongan itu menurun sebanyak 42 peratus hingga 73 peratus selepas lima hingga 10 bulan menerima dos kedua.

“Pada 14 April lalu, KKM telah mengumumkan pemberian dos penggalak kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas.

“Namun berdasarkan situasi semasa tahap keberkesanan vaksin dalam kalangan remaja yang berisiko tinggi, TWG mengesyorkan supaya agihan dos penggalak dikategorikan semula sebagai dos ketiga sekali gus menjadi pelengkap kepada vaksinasi primer,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, setelah melengkapkan vaksinasi dos ketiga, barulah dos penggalak pertama boleh diberikan kepada individu yang mengalami imunokompromi sederhana atau teruk berusia 12 hingga 17 tahun.

Menurutnya, bagi kanak-kanak 5 hingga 11 tahun berisiko tinggi, mereka terlebih dahulu perlu disahkan pakar perubatan kerajaan atau swasta sebelum dos ketiga diberikan iaitu sekurang-kurangnya lapan minggu selepas menerima dos kedua.

“Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun berisiko tinggi pula, mereka juga perlu disahkan terlebih dahulu oleh pakar perubatan kerajaan atau swasta dan suntikan boleh diberikan selepas 28 hari menerima dos kedua,” katanya.

Tambah beliau, bagi pemberian dos penggalak pertama kepada individu berusia 12 hingga 17 tahun berisiko tinggi pula, mereka juga perlu disahkan pakar perubatan kerajaan atau swasta dan suntikan boleh diberikan selepas tiga bulan suntikan dos ketiga.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, beberapa kriteria ditetapkan untuk agihan dos penggalak kedua dimana ia hanya untuk individu berisiko berumur 18 hingga 59 tahun dan petugas kesihatan barisan hadapan.

“Suntikan dos penggalak kedua boleh diberikan sekurang-kurangnya enam bulan selepas menerima dos pengalak pertama dan setelah berbincang dengan mana-mana pengamal perubatan berdaftar,” katanya.

Ujar beliau, KKM juga akan memperluaskan pemberian vaksin Can Sino Bio sebagai dos penggalak secara heterologus kepada penerima vaksin lengkap tanpa mengira jenis vaksin dos primer.

“Kriteria kelayakan bagi penerima dos penggalak Can Sino Bio ialah individu mestilah berumur 18 tahun dan ke atas dan telah menerima vaksin selain daripada vaksin jenis Can Sino Bio dan Sinovac yang telah diluluskan sebelum ini,” katanya.

Jelas Khairy lagi, prosedur atau mekanisma bagi pelaksanaan pemberian dos ketiga bagi kanak-kanak dan remaja serta dos penggalak pertama bagi remaja, akan dimuktamad dan dimaklumkan dalam waktu yang terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI