SUNGAI PETANI – Tiada apa yang mampu dilakukan oleh seorang kanak-kanak berusia 10 tahun selain hanya mampu melihat wajah ibu dan dua adiknya menerusi gambar dan video lama selepas tiga insan tersayang itu pergi buat selama-lamanya.
Muhamad Ziyad Hazif Shahrudin kehilangan tiga keluarga sekali gus, selepas ibu dan dua adiknya terkorban dalam kejadian menyayat hati di Sungai Ketil, Baling dekat sini pada Sabtu lalu.
Lebih menyedihkan apabila Muhamad Ziyad juga sering dilihat termenung bersendirian dan mengalirkan air mata setiap kali melihat video dua adik lelakinya.
“Sudah lama saya tidak berjumpa dengan adik-adik sejak kami tinggal berasingan kira-kira tujuh bulan lalu.
“Sebelum ini, saya hanya anggap kami sekeluarga berpisah sementara dan bakal bersatu semula, namun semuanya berakhir apabila umi dan adik meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang Sabtu lalu, Masyitoh Ibrahim, 37, dan dua anak lelakinya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, serta Muhammad Ziyad Haziq, 5, ditemui meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Ketil.
Menurut Muhamad Ziyad yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Pekaka, perkara paling dirindui adalah saat-saat bermain dan bermesra dengan dua adiknya.
“Sebaik ditukarkan sekolah dari SK Kampung Selarong, Kuala Ketil pada November tahun lalu, saya tidak pernah lagi bertemu dengan dua adik, sebaliknya hanya melihat video mereka yang berada dalam simpanan bapa.
Ujarnya, kali terakhir dia bertemu ibu adalah pada Rabu minggu lalu.
“Waktu itu umi tidak bercakap banyak seperti dalam tiga pertemuan sebelum ini, sebaliknya hanya mencium saya dan memberi wang saku sebelum beredar pulang.
“Ketika itu saya berharap bapa dan umi dapat berbaik semula dan kami tiga beradik dapat tinggal sebumbung seperti sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, dia akan membaca surah Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada ibu dan dua adiknya itu.
Sementara itu bapanya, Shahrudin Aziz, 51, berkata, sejak kejadian itu, anak sulungnya itu dilihat lebih banyak mendiamkan diri selain suka termenung.
“Kadang-kadang saya melihat dia mengesat air mata selepas melihat video dua adiknya yang berada dalam simpanan saya. Mungkin dia terlalu rindu sebab sudah lama tidak bertemu,” katanya.
Kosmo! pada 27 Jun melaporkan, seorang suami hilang kata-kata selepas melihat mayat isteri dan dua anak lelakinya dalam keadaan berpelukan antara satu sama lain sebaik sahaja kereta Proton Persona dinaiki tiga beranak itu berjaya ditemukan di Sungai Ketil di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil. -KOSMO! ONLINE
















