fbpx

Little Caliphs perluas cawangan ke Indonesia, Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak Little Caliphs berusia enam tahun menjalani aktiviti tawaf replika Kaabah di MAEPS, Serdang baru-baru ini.

SERDANG – Little Caliphs International Sdn. Bhd. (Little Caliphs) bercadang untuk membuka antara 30 hingga 50 cawangan tadika setiap tahun dalam usaha me­luaskan pasarannya di seluruh negara termasuk di pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Roslan Nordin berkata, ia juga adalah untuk memenuhi permintaan ibu bapa dan waris yang terus meningkat setiap tahun ekoran keutamaan mereka mahukan anak-anak mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti tinggi secara menyeluruh daripada aspek akademik dan pendidikan islam serta membina kerohanian untuk menjadi individu yang soleh beriman.

Menurut beliau, pengalaman syarikat dalam pendidikan awal kanak-kanak dengan rekod yang cemerlang itu juga telah membolehkan Little Caliphs berjaya menembusi pasaran di negara jiran khususnya di Indonesia.

“Kami kini memiliki tiga buah cawangan tadika di Indonesia dan bakal membuka sebuah cawangan sulung di Thailand pada suku keempat tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Simulasi Haji Cilik Little Hajj 2022 di MAEPS di sini baru-baru ini.

Program yang telah mendapat sokongan daripada Lembaga Tabung Haji itu telah melibatkan penyertaan seramai 7,150 murid berusia enam tahun dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta 780 guru tadika Little Caliphs sebagai tenaga mutawwif.

Penganjuran turut dilaksanakan di beberapa buah negeri di bahagian Selatan, Pantai Timur dan Utara dengan menjangkau jumlah keseluruhan seramai 15,000 kanak- kanak.

Pada majlis tersebut, kanak-kanak itu berpeluang ‘naik haji’ dengan melakukan aktiviti tawaf mengelilingi replika Kaabah yang bersaiz 10 kaki ketinggiannya serta aktiviti memakai ihram untuk haji, wukuq di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan mabit di Mina, saei, melontar jamrah, dan bertahallul. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI