fbpx
Seorang pekerja mengeluarkan jongkong emas daripada acuan di kilang logam di Kasimov, Rusia. - Andrey Rudakov/Bloomberg

Biden, G7 umum sekat import emas Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Presiden Joe Biden mengumumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) bersama negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) akan melarang import emas Russia dalam satu lagi sekatan ke atas sektor ekonomi Moscow, lapor laman berita MailOnline kelmarin.

Biden sedang berusaha untuk memberikan tekanan kewangan terhadap Presiden Vladimir Putin supaya menamatkan pen­cerobohan Kremlin ke atas Ukraine.

Larangan import emas itu akan dilaksanakan ketika Russia terus mengaut berbilion-bilion dolar daripada jualan minyaknya walaupun berdepan sekatan dari AS dan blok Barat lain.

Selain minyak, emas adalah sumber pendapatan utama bagi ekonomi Russia.

“AS akan melaksanakan sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Putin, bertujuan menafikan pendapatan yang beliau perlukan untuk mem­biayai perang di Ukraine.

“Bersama-sama Washington dan G7 akan mengharamkan import emas Russia yang meraih pendapatan berpuluh-puluh bi­lion dolar kepada Moscow,” kata Biden dalam satu pengumuman di laman Twitter.

Pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat hari ini.

Barat telah mengenakan beberapa siri sekatan termasuk ke atas minyak Rusia, jenama mewah dan barangan lain.

Bagaimanapun, persoalan timbul me­ngenai keberkesanan hukuman kewangan tersebut.

“Impak kewangan jangka pendek sekatan yang dikenakan terhadap ekonomi Russia adalah besar tetapi menjadi semakin pudar sejak Mei lalu,” demikian menurut Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa dalam laporan pada bulan ini.

Sehingga kini, minyak Russia masih dibeli oleh China dan India untuk menampung ruang kosong yang ditinggalkan oleh AS dan sekutunya.

Rusia pula masih mengaut AS$1 bilion (RM4.4 bilion) sehari daripada jualan minyaknya.

Pentadbiran Biden bagaima­napun masih berpendapat bahawa sekatan yang dikenakan oleh Barat adalah berkesan.

“Washington mengumpulkan seluruh dunia untuk membantutkan ekonomi Russia secara pantas dan ketara,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran Biden. – Agensi

POPULAR