fbpx

Apabila ‘Covidflasi’ melanda dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Seorang peniaga memandu kereta mewah dan menyerahkan kepada bank kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan. Ia berlaku ketika krisis kewangan Asia Timur 1997/98.

Ketika itu Malaysia berdepan krisis kewangan terburuk dalam sejarahnya. Nilai ringgit merudum sehingga RM4.88 kepada AS$1 berbanding purata RM2.42.

Pasaran saham Malaysia yang ketika itu ketiga besar di rantau ini selepas Jepun dan Hong Kong menjunam daripada 1,077 mata kepada 262.7 mata.

Sepanjang tempoh itu, pasaran ekuiti negara hilang nilai pasaran AS$225 bilion. Ramai bilionair terutama elit Melayu hampir hilang segalanya.

Kadar pinjaman tinggi meranapkan apa yang dibina. Ini kerana mengikut teori ekonomi dan nasihat bank antarabangsa apabila inflasi naik dan matawang susut, kadar faedah mesti dinaikkan sehingga hampir 16 peratus.

Kenaikan itu ‘membunuh’ kehidupan jutaan rakyat. Nasib baik ketika itu ada yang bijak bertindak menetapkan nilai ringgit dan menurunkan kadar faedah.

Untuk kali pertama sejak 1985, ekonomi mengecut kepada negatif 6.7 peratus. Inflasi pada Jun 1998 melonjak ke paras 6.2 peratus. 100,000 orang dikatakan hilang kerja.

‘Parut’ paling nyata yang boleh dilihat hari ini adalah Plaza Rakyat berdekatan Puduraya. Projek bangunan kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Berkembar Petronas masih tinggal rangka.
Ia mengingatkan kita kesan dahsyat krisis itu.

Kurang 16 bulan lalu, seluruh dunia dilanda krisis Covid-19. Ekonomi Malaysia sekali lagi menguncup. Kesannya tidak kurang dahsyat. Pengangguran naik ke tahap tertinggi sejak mula diukur.

Ratusan ribu hilang kerja cuma bezanya, tiada lonjakan inflasi. Ekonomi negara ‘ranap’ seperti rumah kayu usang di tepi pantai semasa musim tengkujuh. Hari ini, dunia berhadapan krisis inflasi.

Hampir semua negara menunjukkan kenaikan inflasi berganda. Inflasi United Kingdom tertinggi dalam 40 tahun. Ia juga tertinggi dalam tujuh tahun di Jepun. Tiada negara bebas demam ‘Covidflasi’. Di Malaysia harga barangan meningkat dan menimbulkan kemarahan rakyat.

Ada menyalahkan harga minyak global naik hingga AS$120. Tetapi ada yang lupa, harga minyak pernah naik hingga AS$148 setong. Penganalisis global menyatakan harga minyak sebenar AS$60.

Tidak mungkin dua tahun Covid-19, penduduk dunia bertambah sekali ganda dan menghirup minyak seperti mendapat air sejuk di padang pasir. Apa yang diperlukan kini ialah kerajaan yang mampu merangka pelan lebih menyakinkan.

Tidak perlu dibincang kajian subsidi bersasar seperti minyak RON95 ketika keresahan rakyat memuncak. Ia seperti mencurah minyak ke api.

Kerahkan penguatkuasaan bagi memastikan tiada peniaga ambil kesempatan. Jangan naikkan kadar faedah seperti dicadangkan ahli ekonomi yang tidak pernah menguruskan syarikat.

Kenaikan kadar faedah hanya membunuh perniagaan dan perjawatan. Kenaikan OPR tidak akan mengelak kejatuhan ringgit. Sebahagian besar rakyat melalui beberapa keperitan ekonomi.

Kelebihan manusia selain akal dan daya tahan ialah kemampuan ‘menyesuaikan’ diri. Kita akan menyesuaikan diri sekali lagi dan keluar daripada kemelut ini. Ia fitrah manusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI