fbpx
ERRA FAZIRA ketika hadir memberi sokongan kepada Awie Wings yang akan menjayakan konsert di Sabah dan Sarawak pada Ogos depan,

Jadi nombor 1 atau 2? Erra Fazira enggan takbur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Aktres dengan jolokan Primadona Filem Melayu Alaf Baharu, Erra Fazira enggan terlalu yakin bercakap perihal jodoh masa depan memandangkan perkara tersebut boleh mengundang takbur.

Pemilik nama sebenar, Fazira Wan Chek, 48, juga mengakui, pernah beberapa kali termakan kata-kata sendiri impak daripada terlalu yakin bercakap tentang kemahuan dalam perkahwinan.

“Apa yang saya belajar, kita jangan cakap tak mahu itu ini, nanti kata-kata itu makan diri kerana saya pernah beberapa kali termakan apa yang saya katakan.

“Jadi saya tak berani mengatakan saya hanya ingin jadi nombor satu dan tidak mahu nombor dua (isteri kedua). Saya nak tenang dan berkahwin kerana Allah,” kata Erra Fazira mengulas tentang kebenaran gosip bergelar isteri kepada VVIP yang hangat diperkatakan kembali selepas setahun berlalu.

Ibu tunggal anak satu itu juga bertegas, pada tahap usia dan situasi sekarang, bukan lagi menjadi kemestian buatnya menguar-uarkan hal peribadi, sebaliknya selesa ambil pendekatan berdiam.

“Tanggungjawab saya dulu untuk uar-uarkan kepada peminat, tapi situasi semasa sekarang berbeza apabila banyak aspek kena tengok dahulu sebelum bercakap.

“Saya rasa tiada masalah (jika tidak umum) saya sudah kahwin atau nak berkahwin sebab kita bukan anak remaja yang baru hendak memulakan hidup.

“Bergantung pada keselesaan, jika tak mahu kongsi, diam lebih baik. Saya rasa dalam umur sekarang saya tak berhutang dengan sesiapa pun untuk hebahkan (hal peribadi).

“Saya cuma harap doakan semua lancar dan kalau ada masalah yang perlu saya berdiam, itu atas sebab saya enggan keluar lagi cerita bukan-bukan,” katanya selepas sidang media Showcase Awie Romantika, semalam.

Bintang filem Sembilu itu diundang rakan seperjuangannya, Awie atau Datuk Azhar Othman untuk menjayakan konsert yang bakal berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak pada Ogos depan.

ERRA dijemput untuk bersama-sama dengan Awie menjayakan konsert Wings di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 20 Ogos depan.

Akui wanita yang pernah melalui dua episod perceraian dalam perkahwinan itu, dia tidak dapat menutup mulut orang, sebaliknya hanya mampu bertahan dengan setiap khabar angin tentang dirinya.

Kata Erra, ini bukanlah kali pertama dia ‘dikahwinkan’ tidak bertali.

“Hakikatnya bukan baru sekarang, saya sudah lama dan banyak kali ‘dikahwinkan’. Kalau kita suruh hentikan nanti mereka sangka gosip tersebut betul. Jadi biarkan,” tambahnya.

Mengulas tentang perancangan bekas kekasihnya yang juga penyanyi, Shahir Zawawi yang bakal mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat, Erra tumpang gembira.

Katanya, mereka masih saling berkomunikasi sebagai rakan baik, sekali gus kebahagiaan Shahir turut mengujakan dirinya.

“Sebaik dikhabarkan mengenai berita tersebut saya terus mengucapkan tahniah. Kita pun tumpang gembira mendengar cerita daripada Shahir sendiri.

“Saya pun masih kekalkan hubungan baik dengan kawan lama, yang mana biarpun tidak berjodoh, saya enggan mahu bermasam muka,” katanya.

Terdahulu, Erra mendirikan rumah tangga dengan komposer dan ahli kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 2003, namun berpisah tiga tahun kemudian.

Setahun kemudian, anak kelahiran Rawang, Selangor berjodohan pula dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya, yang kini sudah mencecah usia 13 tahun.

Ikatan perkahwinan mereka ditakdirkan hanya bertahan selama tujuh tahun sebelum masing-masing memilih haluan sendiri pada Februari 2014. – KOSMO! ONLINE

POPULAR