fbpx

Measat-3d ‘bawa’ internet berkelajuan tinggi ke kawasan pedalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setelit Measat-3D yang dibawa oleh roket Areane5 selamat dilancarkan awal pagi tadi.

PUTRAJAYA – Kejayaan pelancaran satelit kesepuluh negara, Measat-3d awal pagi tadi memungkinkan negara mencapai kadar liputan 100 peratus bagi semua kawasan berpenduduk sebelum tahun 2025.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, satelit berkenaan juga bakal meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di kawasan pedalaman kepada kadar berkelajuan tinggi seperti rangkaian gentian optik di kawasan bandar.

“Alhamdulillah, satu lagi sejarah tercipta hari ini apabila satelit Measat-3d telah berjaya dilancarkan di French Guiana, Amerika Selatan pada pukul 6.50 petang waktu tempatan 22 Jun (5.50 pagi waktu Malaysia, 23 Jun).

“Isyarat telemetri pertama daripada Measat-3d telah diterima tepat pukul 6.41 pagi tadi waktu Malaysia sekali gus menandakan pelancaran satelit itu berjaya sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Annuar, perkembangan itu sangat penting dalam usaha menjayakan Pelan Digital Negara atau MyDigital dan seterusnya melengkapkan pelaksanaan program di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

“Di bawah program Jendela 1, kita mempunyai jangkaan boleh mencapai kadar liputan 97 peratus yang menghubungkan kawasan berpenduduk dengan menggunakan kaedah jaringan gentian optik namun baki tiga peratus lagi adalah kawasan pedalaman yang tidak ekonomik dan hanya boleh dihubungkan menggunakan satelit.

“Teknologi satelit yang dimiliki setakat ini memberikan perkhidmatan jalur lebar kapasiti dan kelajuan yang rendah dengan majoriti kurang daripada 10 megabit sesaat (mbps) iaitu hanya tiga sehingga lima mbps,” katanya.

Jelas beliau, satelit Measat-3d bagaimanapun berkeupayaan memberikan perkhidmatan jalur lebar di kawasan pedalaman antara 35mgbps yang menyamai kadar purata perkhidmatan 4G dan hampir 5G menggunakan talian tetap sehingga 100mgbs.

“Ini bermakna, pelancaran Measat-3d membolehkan penduduk di kawasan pedalaman bukan sahaja dapat menggunakan aplikasi tetapi juga memberikan pengalaman yang sama dengan yang diterima oleh penduduk di kawasan bandar.

“Saya berharap pelancaran Measat-3d ini akan mengembangkan lagi kadar liputan internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai sambungan supaya mencapai 100 peratus kesalinghubungan internet, sekali gus membolehkan Keluarga Malaysia menikmati kemudahan internet dengan lebih baik,” ujar beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online awal pagi tadi melaporkan kejayaan pelancaran roket Ariene5 yang membawa satelit Measat-3d di Kourou, French Guiana.

Dengan kos sekitar RM1.2 bilion, Measat-3d adalah yang paling komprehensif dan kompleks di dalam kumpulannya berbanding Measat-3a dan Measat-3b. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI