fbpx

Tatmadaw bunuh 142 kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelarian Myanmar dan anak-anak mereka berkhemah di sempadan Myanmar-Thailand di negeri Kayah pada 14 Februari lalu. – AFP

NAYPYIDAW, MYANMAR –  Junta tentera  Myanmar secara sistematik membunuh, menyeksa dan menahan kanak-kanak sejak kudeta pada Februari 2021,  kata pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) dalam satu laporan baharu yang menggesa campur tangan peringkat Ukraine daripada masyarakat antarabangsa.

Agensi berita United International Press melaporkan kelmarin bahawa pakar  PBB bagi hak asasi Myanmar, Tom Andrews menerusi laporannya berkata, Tatmadaw (tentera Myanmar)  telah membunuh sekurang-kurangnya 142 kanak-kanak dan menahan lebih 1,400 yang lain.

Beliau mendokumentasikan penyeksaan terhadap 142 kanak-kanak termasuk mencacatkan anggota badan, mencucuh dengan api rokok, mencabut kuku dan gigi serta melakukan serangan seksual.

“Serangan berterusan ke atas kanak-kanak menunjukkan sikap tidak berperikemanusiaan Tatmadaw dalam melakukan keganasan terhadap mangsa yang tidak berdosa.

“Sekiranya proses demokrasi tidak dikembalikan dan tiada langkah segera diambil, kanak-kanak Myanmar akan menjadi generasi yang pupus,” tegasnya.

Selain itu, Andrews turut menggesa supaya bantuan kemanusiaan dipertingkatkan di samping sekatan bersasar dilaksanakan dengan lebih ketat terhadap junta tentera Myanmar.

“Demi kanak-kanak Myanmar, negara-negara ahli, organisasi serantau, Majlis Keselamatan dan entiti-entiti PBB yang  lain perlu bertindak balas ke atas krisis di Myanmar, sama seperti tindak balas yang mereka lakukan terhadap krisis di Ukraine.

“Serangan tentera terhadap  kanak-kanak merupakan tindakan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang,” ujarnya.

Serangan Tatmadaw ke atas orang awam  menyebabkan ramai penduduk Myanmar hilang tempat tinggal dengan lebih 250,000 kanak-kanak terpaksa meninggalkan kediaman mereka sejak rampasan kuasa bermula.

Kira-kira 7.8 juta kanak-kanak lagi dilaporkan tercicir daripada persekolahan.

Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dari negeri Kayah memberitahu penyelidik bahawa dia mahu pergi ke sekolah, namun berasa takut apabila mendengar dan melihat serangan tentera.

“Saya tidak suka mendengar bunyi dentuman bom dan tembakan di sekolah kerana berasa takut sekolah akan terbakar dan pelajar akan mati,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI