fbpx

Hargai jasa, pengorbanan pekerja Alam Flora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masalah longkang tersumbat sentiasa menjadi perhatian pekerja Alam Flora untuk mengelak banjir sekiranya tiba musim hujan.

KUALA LUMPUR – Barisan hadapan atau frontliner syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) adalah antara wira dan wirawati yang tidak didendang.

Berpanas, berhujan, menggadaikan nyawa malah dipandang sebelah mata oleh sesetengah masyarakat adalah antara liku-liku cabaran yang perlu mereka lalui saban hari.

Jasa dan keringat mereka tidak dapat dinilai dengan wang ringgit kerana sanggup bergelut bersama kotoran demi mengekalkan kebersihan longkang-longkang dari segala sisa-sisa buangan serta sampah sarap buat penduduk sekitar.

Pekerja di Bahagian Unit Khas Alam Flora, Abdul Razak Mohd, 51, berkata, kotoran yang membawa kuman, bakteria dan haiwan berbisa antara perkara yang perlu ditempuhi dan sudah menjadi asam garam serta rutin hariannya sepanjang 18 tahun berkhidmat bersama syarikat itu.

Jelasnya, kerja di bahagian Unit Khas banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi dan berisiko mengalami kecederaan yang boleh menggadaikan nyawa.

“Banyak dugaan sebenarnya, ketika menjalankan kerja-kerja membersihkan longkang-longkang di sekitar ibu negara daripada tersumbat yang boleh menyebabkan kejadian banjir kilat.

“Macam-macam benda saya pernah jumpa di dalam longkang, namun demi mencari sesuap nasi dan kesejahteraan kehidupan masyarakat setempat saya gagahkan juga,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Jelas Abdu Razak, sepanjang bertugas, beliau sering kali dijangkiti penyakit ruam atau gatal-gatal di seluruh anggota badan.

“Walau bagaimanapun, saya tetap seronok bertugas dan saya berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Penyelia Pembersihan Longkang Awam Alam Flora, Muhammad Firdaus Jamil, 27, berkata, antara pengalaman pahit terpaksa ditempuhi ialah ketika membuat kerja-kerja pembersihan di taman perumahan di sekitar Langat yang mengalami banjir pada akhir tahun lalu.

“Memang sedih jika dilihat, kawasan perumahan itu musnah dilanda banjir.

‘Pasukan kami, bekerja keras membersihkan kawasan sekitar kerana jika lambat, banyak penyakit bawaan boleh menjangkiti para penduduk di situ.

“Sepanjang lima tahun saya bertugas, itu antara pengalaman pahit yang terpaksa saya dan pasukan saya tempuhi, yang mana kami melihat banyak ikan bergelimpangan, sampah merata tempat malah kami juga berdepan risiko penyakit,” katanya.

Selain itu, beliau amat berpuas hati dengan kerjasama diberikan penduduk sekitar Kuala Lumpur yang menjaga kebersihan longkang daripada tersumbat.

“Setakat ini, longkang-longkang di taman perumahan mudah diselenggara, namun saya menasihati semua orang agar sentiasa menjaga kebersihan longkang, jangan buang segala sampah sisa-sisa makanan ke dalam longkang yang boleh menyebabkan tersumbat.

“Bila tersumbat nanti, boleh menyebabkan aliran air tidak lancar dan tersekat sekali gus boleh menyebabkan kejadian banjir kilat yang merosakkan harta benda atau kehilangan nyawa,” ujarnya.

Sementara itu, Pemandu Alam Flora, Sulaiman Tam, 50, berkata, cemuhan penduduk, dipandang hina malah bertegang urat dengan orang ramai adalah antara dugaan yang terpaksa ditangani beliau sepanjang 25 tahun berkhidmat bersama Alam Flora.

“Kadang-kadang kita lalu jalan sempit, bila minta dialihkan kereta ada yang bertegang urat dengan kami, ada juga memarahi kami kerana melakukan tugas-tugas pembersihan di siang hari dan menutup jalan.

“Namun, itu semua dugaan dan cabaran, kami tangani dengan penuh tanggungjawab kerana matlamat kami hanya satu iaitu demi memberi kehidupan yang lebih selesa buat semua orang,” jelasnya.

Selain itu, Pekerja Am Alam Flora, Roslan Yazid, 45, dia yang ditugaskan untuk mengutip sisa sampah kering atau kebun amat gembira dengan tugasan sedia adanya.

“Saya sudah 13 tahun berkhidmat bersama Alam Flora, memang banyak kenangan bekerja.

“Kami dapat mengeratkan silaturahim bersama penduduk setempat, tengok gelagat mereka, tanya tentang servis yang diberikan dan apa yang boleh diperbaiki.

“Kerja kami memang tak glamor tetapi jika kami yang tidak buat kerja tersebut, siapa lagi yang mahu kutip sampah ini?” soalnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI