fbpx

Tauke kedai telefon didakwa memandu secara melulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wei Meng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga membahayakan konvoi polis di Johor Bahru. - FOTO: RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik kedai telefon bimbit dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga membahayakan konvoi polis, awal bulan ini.

Tan Wai Meng, 29, yang menjalankan perniagaan di Singapura itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

Mengikut pertuduhan, Wai Meng didakwa memandu kereta secara melulu dan berbahaya dengan cara memotong dengan laju di sebelah kiri hingga membahayakan konvoi polis dan orang awam yang lain.

Wai Meng didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 4.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) menghala pusat bandar Johor Bahru pada pukul 9.45 pagi, 7 Jun lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun.

Pegawai Pendakwa, Inspektor S. Vikineswary mencadangkan lelaki itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, namun Wai Meng yang tidak diwakili peguam memohon jaminan tersebut dikurangkan atas alasan perlu menanggung dua anak dan menjaga ibu.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

28 Julai depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI