DARI jauh kelihatan sosok tubuh seorang lelaki tekun membersihkan tiram daripada teritip dan siput kecil lain yang melekat pada cangkerangnya.
Satu persatu tiram yang diternaknya itu diperiksa dengan teliti sebelum dimasukkan kembali mengikut saiz ke dalam Sungai Merbok sehingga mencapai saiz diperlukan dalam pasaran.
Begitulah proses yang perlu dilakukan berulang kali oleh penternak tiram, Mohamad Ridzwan Ishak, 51, di pelantar ternakan Tiram Sungai Merbok di Kampung Sungai Batu Besi, Merbok dalam daerah Kuala Muda, Kedah.
Menurut Mohamad Ridzwan atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Pak Su, terdapat kira-kira 50,000 tiram jenis Crassostrea (C. Belcheri dan C. Iredalei) di dua ladang ternakannya iaitu di Kampung Sungai Batu Besi dan Segantang Garam.
Katanya, dua ladang ternakan tersebut terletak di jajaran sungai yang sama iaitu Sungai Merbok dengan jarak kira-kira 12 kilometer.
“Proses penjagaan tiram selama kira-kira setahun memerlukan ketekunan dan konsistensi bagi memastikan ia dapat hidup dan membesar dengan baik di sungai ini.
“Tiram sangat sensitif yang mana kualiti air sungai perlu dijaga supaya tidak tercemar dengan sisa buangan termasuk daripada industri dan minyak dari bot,” katanya.
Jelasnya, dia juga perlu memastikan kawasan ternakan itu juga kaya dengan plankton yang menjadi sumber makanan tiram.
“Di sepanjang sungai Merbok ini, terdapat hutan paya bakau yang mana ia sangat penting kepada ekosistem alam semula jadi, selain menggalakkan kewujudan plankton,” ujarnya yang merupakan bapa kepada enam orang anak.

Katanya, dia juga terlibat dalam aktiviti penanaman pokok bakau yang dianjurkan Kelab Pendidikan dan Kebajikan Lembah Bujang (Kelab Puncak).
“Kalau hilang pokok bakau, hilanglah juga habitat kepada hidupan di sungai ini seperti ikan, ketam dan siput,” katanya.
Menurut Pak Su, selain memerlukan air sungai yang tidak tercemar, tiram juga perlu berada dalam air dengan tahap kemasinan tertentu.
“Saya juga perlu pastikan tiada ketam di kawasan ternakan ini kerana haiwan itu menjadikan tiram sebagai makanannya,” jelasnya.
Katanya, segala proses penjagaan itu dipelajari sendiri berdasarkan pengalaman serta tunjuk ajar daripada pakar tiram yang merupakan profesor dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Aileen Tan Swu Hwa.
“Bantuan daripada USM ini adalah menerusi program penternakan tiram iaitu pemindahan ilmu dari universiti kepada komuniti,” katanya.
Bercerita tentang pembabitannya dalam industri ternakan tiram, menurut Pak Su, dia bermula dengan satu rakit diperbuat daripada kayu dan tong terbuang di Kampung Sungai Batu Besi pada 2012.
“Pada masa itu, saya hanya bercadang untuk kutip benih ikan dari nelayan di sepanjang Sungai Merbok ini.
“Tidak sempat nak laksanakan perancangan itu, seorang profesor dari USM yang juga pakar tiram mencadangkan supaya saya bersama beberapa individu lagi menternak tiram,” katanya ketika ditemui di ladang ternakan tiram di Kampung Sungai Batu Besi baru-baru ini.

Menurut anak tempatan dari Kampung Pengkalan Langgar, Merbok itu, dia kemudian bersetuju dengan cadangan tersebut dan usahanya itu terus berkembang dengan kini terdapat tujuh rakit ternakan tiram.
“Benih tiram berukuran kira-kira 2 sentimeter (sm) diperoleh daripada penjual di Balik Pulau, Pulau Pinang sebelum kita masukkannya ke dalam bekas khas yang digantung pada tali.
“Bekas itu kita masukkan ke dalam sungai dan proses membersihkan tiram daripada benda asing seperti daun hanyut, lumut dan teritip serta siput yang melekat pada cangkerang perlu dilakukan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Katanya, ladang ternakannya itu semakin berkembang yang kini mempunyai tujuh rakit tiram hasil tunjuk ajar profesor USM terbabit serta pembiayaan menerusi geran projek tiram universiti berkenaan.
“Alhamdulillah, satu cawangan baharu di Segantang Garam dibuka dua tahun lalu yang mana ia menjadi tempat ternakan benih tiram.
“Apabila saiznya mencapai 7 sm, ia akan dipindahkan ke Kampung Sungai Batu Besi sehingga mencapai saiz diperlukan kira-kira 8 hingga 10 sm sebelum boleh dipasarkan,” jelasnya.
Katanya, proses membersihkan tiram daripada bahan asing seperti lumut, daun hanyut serta teritip dan siput kecil pada cangkerang perlu dilakukan secara berulang kali.
“Selepas tiram bersih, kita akan lakukan proses penggredan dengan mengasingkan tiram mengikut saiz,” katanya.
Menurutnya, ladang ternakan itu mampu mengeluarkan kira-kira 1,200 tiram dewasa yang boleh dipasarkan pada setiap bulan.
Katanya, tiram Sungai Merbok menjadi hidangan di restoran terapung diusaha sendiri di pelantar ternakan tiram Kampung Sungai Batu Besi.
“Kita tawarkan tiram ini sama ada dimakan secara mentah atau dikukus sekejap.
“Harga tiram mengikut saiz iaitu antara RM5 hingga RM7 setiap satu,” katanya.

Selain itu, katanya, tiram juga dijual kepada peraih di Pulau Pinang dan pemilik restoran di Kuala Lumpur dan Johor.
Menyentuh tentang rasa tiram dari Sungai Merbok, katanya, rasa tiram biasanya mengikut air dan persekitaran kawasan ternakan.
“Itulah keunikan tiram yang mana penggemar tiram pasti dapat rasa perbezaannya dengan kawasan ternakan lain.
“Tiram di Sungai Merbok menjadi kegemaran ramai pelanggan dari seluruh negara, yang mana mereka suka kerana teksturnya lembut serta rasanya berlemak dan manis serta tidak pahit,” ujarnya.
Katanya, tiram biasanya dinikmati dengan air perahan lemon, bawang goreng serta dicicah dengan sos istimewa.
“Ramai juga yang pertama kali datang sini pada mulanya enggan makan mentah, tetapi bila rasa sekali, mereka pasti jatuh cinta dengan kelazatan tiram segar,” katanya.
Ujarnya, selain tiram, restorannya turut menawarkan hidangan makanan laut lain pada harga berpatutan.
“Restoran dibuka setiap hari kecuali Jumaat dari pukul 11 pagi hingga 6 petang,” katanya.
Tambahnya, dia gembira apabila orang ramai kini dapat merasai kelazatan tiram pada harga berpatutan berbanding hanya di hotel-hotel terkemuka.














