fbpx

Kaji semula langkah tambat ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) disarankan supaya melihat semula cadangan untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Pusat Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ia antara langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan nilai ringgit terus tergelincir berikutan pengukuhan dolar AS.

“Bukan nilai ringgit yang jatuh sebenarnya, sebaliknya dolar AS yang semakin mengukuh rentetan keputusan Ri­zab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah secara agresif.

“Kalau tidak dilakukan sesuatu, nilai ringgit dikhuatiri terus merosot sehingga mencapai RM4.70 berbanding dolar AS dan sekiranya ringgit ditambat bersama dolar AS, nilai ringgit boleh turut sama mengukuh seiring dengan pengukuhan dolar AS.

“Atau alternatif lain adalah BNM terpaksa mengeluarkan belanja banyak untuk me­ngukuhkan nilai ringgit di pasaran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Nilai ringgit merosot lagi semalam, kali ini mencecah paras RM4.424 berbanding dolar Amerika berbanding RM4.415 pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, isu penyusutan nilai ringgit banyak berkait dengan faktor luaran terutamanya suasana kadar faedah di Amerika Syarikat yang dijangka dinaikkan pada kadar agresif.

Pada masa sama, beliau berpandangan agak sukar untuk menjangka sama ada ringgit akan terus jatuh.

“Susah nak dijangka. Kalau diikutkan analisis teknikal, paras rintangan adalah RM4.45 berbanding dolar AS,” ujarnya.

Sementara itu, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI kembali meningkat pada sebelah petang kepada 1,476.55 setakat pukul 3.45 untuk merekodkan kenaikan sebanyak 11.72 mata selepas menyaksikan penurunan pada sebelah pagi. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI