fbpx

Rakam lagu Calum Scott, peluang terindah Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIANA DANIELLE dan Calum Scott.

BAGAI bulan jatuh ke riba. Demikian perlambangan yang diungkapkan figura bernama Diana Danielle apabila diberi peluang dan kepercayaan merakamkan semula balada syahdu penyanyi asal Britain, Calum Scott yang berjudul Heaven.

Lagu ciptaan Hayley Warner, Nola Sipe dan Calum tersebut diberi sentuhan yang lebih segar dengan pembabitan beberapa bintang Asia Tenggara.

Bintang-bintang pop tersohor dimaksudkan adalah dari Filipina (Darren Espanto), Malaysia (Diana Danielle), Vietnam (Hoàng Duyên) dan Indonesia (Lyodra) yang merakam semula lagu berkenaan dengan gaya mereka tersendiri, namun masih mengekalkan intipati asal.

Empat lagu hasil kerjasama terbabit mengungkap perasaan jatuh cinta dengan gambaran syurgawi yang melangkaui segala perbatasan emosi.

Pengalaman tak akan dilupakan – Diana Danielle

Kata Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, dia berasa sangat teruja dengan kolaborasi tersebut dan menyifatkannya sebagai satu mimpi menjadi kenyataan.

“Satu pengalaman yang sangat mengujakan kerana dapat bekerjasama dengan Calum untuk lagu Heaven.

“Berkolaborasi dengannya untuk lagu seindah ini sambil mewakili Malaysia adalah pengalaman yang tak akan saya lupakan,” katanya.

Selain Diana, Heaven turut menampilkan beberapa bintang tersohor serantau seperti Darren Espanto, salah seorang bintang pop terhebat Filipina sejak sedekad lalu, Lyodra, pemenang Indonesian Idol 2020 yang terkenal dengan suara hebatnya serta Hoàng Duyên, salah seorang artis Vietnam yang semakin meningkat naik.

Satu penghormatan – Calum Scott

Berkongsi rasa teruja dapat berkolaborasi dengan bintang-bintang hebat dari Asia Tenggara, Calum berkata, peluang bekerjasama dengan mereka merupakan satu penghormatan besar buat dirinya.

“Saya sangat teruja dapat bekerjasama dengan artis-artis hebat ini dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Vietnam! Benua Asia memang dekat di hati saya, jadi peluang ini satu penghormatan besar.

“Setiap artis ini telah membawa sesuatu yang baharu dalam kolaborasi Heaven kami ini dan saya tak sabar hendak mendengarnya,” ujarnya.

Setiap versi lagu Heaven dikeluarkan bersama video muzik rasmi pada 9 Jun lalu pukul 8 malam.

Calum sebelum ini pernah mencipta fenomena tersendiri apabila melancarkan lagu You Are The Reason yang meraih lebih 100 juta strim dalam Spotify.

Video muzik rasminya juga mencecah jumlah tontonan sebanyak 800 juta dalam YouTube.

Pada masa sama, Calum mengakui dirinya sangat mengagumi bakat nyanyian dari Asia Tenggara.

Baginya, bakat-bakat dari rantau ini disifatkannya mempunyai identiti tersendiri dalam nyanyian mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI