fbpx

‘Nature Lifeguard’ pertama negara di Kuala Tahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli pasukan Nature Lifeguard Taman Negara yang terdiri daripada Orang Asli etnik Bateq mengadakan simulasi kerja menyelamat mangsa lemas di Sungai Tembeling berdekatan jeti Kuala Tahan di Jerantut semalam.

JERANTUT – Taman Negara Kuala Tahan di sini menjadi perintis kepada penubuhan pasukan Nature Lifeguard pertama di negara ini dalam usaha menjaga keselamatan pelancong yang melawat pusat pelancongan hutan tropika itu.

Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh. Mohamed Puzi Sh. Ali berkata, pasukan Nature Lifeguard di bawah selenggaraan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang itu menjadi nilai tambah pembangunan industri pelancongan Taman Negara dan negeri ini khususnya dalam menangani aspek keselamatan darat dan air sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Seramai 20 orang ahli pasukan Nature Lifeguard yang terdiri daripada ahli sukarelawan APM Kuala Tahan termasuk penduduk Orang Asli etnik Bateq akan bertugas sepanjang masa di pusat peranginan hutan tropika ini bagi membantu tugas menyelamat sama ada di air atau darat.

“Ahli pasukan ini sudahpun dilatih dengan kemahiran asas pertolongan cemas, berenang, menyelamat di air dan daratan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta kemahiran mengendalikan bot,” katanya selepas melancarkan pasukan Nature Lifeguard di Kuala Tahan dekat sini semalam.

Sempena majlis pelancaran itu, Sh. Mohamed Puzi turut menyampaikan sebuah enjin dan perahu sumbangan Malaysian Consultative Council of Islamic Organisation Malaysia (Mapim) kepada pasukan Nature Lifeguard dan sukarelawan APM Kuala Tahan untuk kegunaan kerja menyelamat dan menghantar bantuan.

Menurut Sh Mohamed Puzi penubuhan pasukan Nature Lifeguard memberi kesan positif sekali gus keyakinan keselamatan kepada pelancong yang berkunjung ke taman negara itu.

“Kita telah sedar berasaskan pengalaman bah merah 2014 termasuk kejadian banjir tahun berikutnya serta malapetaka  yang berlaku di darat (hutan) menyebabkan APAM meningkatkan kesiapsiagaan untuk tugas menyelamat dengan menubuhkan pasukan tersebut.

“Sekiranya pasukan Nature Lifeguard berada berdekatan tempat kejadian, tindakan menyelamat dapat dipercepatkan sekali gus pengurangan masa untuk tindak balas kecemasan serta risiko kecederaan dan bahaya tertentu kepada mangsa dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pasukan Nature Lifeguard sudahpun dominan di negara Barat yang mempunyai banyak pusat pelancongan serta dikunjungi ramai pelawat untuk melakukan aktiviti bercorak ekstrem dan Pahang mengambil langkah yang drastik untuk memperkemaskan aspek keselamatan dan sebagainya .

“Tourism Pahang berharap kerajaan negeri dan APM akan menambah kelengkapan dan logistik seperti bot serta peralatan menyelamat dari semasa ke semasa serta melatih ramai sukarelawan untuk menyertai pasukan Nature Lifeguard pada masa akan datang.

“Kita juga mencadangkan sebuah pusat logistik dan pentabiran di Kuala Tahan untuk menempatkan peralatan menyelamat, tempat latihan, penerangan, maklumat dan sebagainya dalam usaha memperkemaskan pengurusan pasukan tersebut termasuk sukarelawan APM,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI