fbpx

Polis Itali rampas 4.3 tan kokain milik kartel Colombia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan antara kokain yang dirampas oleh pihak berkuasa Itali, Guardia di Finanza. – News Italy-24

ROM – Pihak berkuasa Itali membuat tangkapan dadah ketiga terbesar dalam sejarah Eropah apabila merampas 4.3 tan kokain daripada sebuah kartel dadah dari Colombia, lapor portal berita MailOnline, kelmarin.

Penyeludupan dadah besar-besaran oleh kartel Clan del Golfo dengan nilai AS$255.86 juta (RM1.12 bilion) itu telah dirampas pihak berkuasa Colombia terlebih dahulu di negara itu sebelum diterbangkan ke Rom sebagai ‘umpan’ untuk menangkap kumpulan pengedar dadah berkenaan.

Kartel tersebut juga ketika itu tidak menyedari bahawa kegiatan mereka telah terbongkar.

Ejen-ejen polis yang menyamar kemudian menyerahkan dadah tersebut kepada pengedar Itali yang sedang menunggu, lantas membolehkan kumpulan tersebut segera ditahan selain dadah turut dirampas.

“Kumpulan pembeli adalah berbeza dan tidak mengetahui bahawa kokain mereka telah dirampas. Pengeluar di Colombia pula telah dibayar dan tidak tahu menahu mengenai rampasan itu.

“Kami berterima kasih kepada pasukan barisan hadapan dan ejen-ejen yang telah menyamar sehingga membolehkan polis menjalankan operasi ini serta melakukan penghantaran demi penghantaran selama lebih setahun hingga akhir Mei lalu,” kata Kolonel Leonardo Erre dari agensi Guardia di Finanza menerusi sidang akhbar kelmarin.

Susulan rampasan itu, penyiasat-penyiasat Itali telah mengeluarkan waran tangkap terhadap 38 individu di negara itu, Slovenia, Croatia, Bulgaria, Belanda dan Colombia. Polis turut merampas wang tunai berjumlah AS$1.97 juta (RM8.65 juta).

Siasatan bagi menumpaskan pengedaran dadah itu berlangsung selama lebih setahun dan melibatkan kedua-dua badan kehakiman Colombia dan Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa di Bogota turut memberi amaran kepada rakan sejawat mereka dari Itali bahawa Clan del Golfo sedang mencari hab untuk menyimpan dadahnya di Rom sebelum diedarkan ke seluruh Eropah.

Pihak berkuasa Colombia pada November lalu berkata, mereka menumpukan usaha untuk menumpaskan Clan del Golfo yang meluaskan rangkaian ke 28 negara di seluruh dunia selepas penahanan ketua kumpulan itu, Dairo Antonio Otoniel Usuga pada Oktober. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI