fbpx

Segerakan kawal selia vape untuk lindungi pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UNDANG-UNDANG kawal selia perlu diwujudkan dengan segera supaya dapat memastikan hanya produk berkualiti dan mengikut standard berada dalam pasaran. -GAMBAR HIASAN

MUTAKHIR ini vape menjadi alternatif kepada mereka yang ingin meninggalkan tabiat merokok.

Namun begitu, ada juga pihak yang menjelaskan bahawa vape mempunyai kesan negatif kepada kesihatan.

Oleh itu, industri vape tanahair memerlukan satu undang-undang khusus dan kawal selia bagi melindungi pengguna dari kesan-kesan negatif akibat penggunaan produk tidak berkualiti dan dicemari bahan terlarang.

Undang-undang kawal selia perlu diwujudkan dengan segera supaya dapat memastikan hanya produk berkualiti dan mengikut standard berada dalam pasaran.

Pada masa yang sama, ia juga adalah untuk membendung penyalahgunaan bahan terlarang untuk mengelakkan isu seperti EVALI.

Beberapa tahun lepas, kes-kes EVALI dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat (AS) yang mengakibatkan hampir 40 kematian. 

Kes-kes tersebut berpunca daripada modifikasi dan campuran barang terlarang di dalam cecair.

Walaupun pihak berkuasa di AS telah menyatakan penggunaan vape tidak menyebabkan EVALI.

Tetapi penyalahgunaan vape dengan campuran-campuran bahan terlarang boleh menyebabkan keradangan pada paru-paru dan menyebabkan EVALI. 

Presiden Pusat Lanjutan untuk Advokasi Rawatan Ketagihan (ACATA), Dr. Arifin Fii berkata, pada 5 November 2019, badan kesihatan di AS, iaitu Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah mengeluarkan laporan penemuan kaji selidik menyatakan bahawa punca penyakit dan kematian membabitkan vape di AS adalah dikaitkan dengan penyalahgunaan produk.

Menurutnya, punca kematian bagi kes berkenaan membabitkan penyalahgunaan produk Vitamin E asetat dan tetrahydrocannabinol (THC) iaitu sejenis dadah. 

DR. ARIFIN

“Kecederaan paru-paru itu bukannya disebabkan penggunaan vape sebaliknya berpunca daripada penyalahgunaan dadah dan Vitamin E asetat yang dicampurkan ke dalam produk cecair dalam vape.

“Perkara ini dapat dielakkan sekiranya kawal selia dan juga peraturan diwujudkan dengan satu standard kualiti supaya produk bebas daripada bahan-bahan yang bahaya seperti THC dan sebagainya,” jelasnya.

Bagaimanapun, Dr. Arifin berkata, kes EVALI adalah sangat terpencil kerana hanya dilaporkan berlaku di AS dan tidak berlaku di negara lain seperti UK, New Zealand atau negara Eropah yang lain kerana adanya peraturan untuk kawal selia dan melindungi pengguna.

Terangnya, kajian yang dilakukan bagi menyelidik kes tersebut di AS juga menunjukkan 85 peratus daripada mangsa mengambil cecair yang tercemar dengan bahan Tetrahydrocannabinol (THC) atau minyak ganja.

“Walaupun terpencil, kita tetap harus berwaspada. Cara terbaik adalah dengan membuat kawal selia ke atas produk vape. Buat kawalan ketat ke atas kandungan dalam produk, tetapkan amalan pengilangan yang baik (GMP) dan buat latihan standard.

“Vape adalah produk yang tidak mendatangkan kemudharatan yang serius melainkan ia di sabotaj dengan bahan-bahan terlarang dan juga modifikasi yang terlampau. Ia merupakan satu cara terbaik untuk membantu perokok tegar berhenti merokok dengan mengurangkan kemudaratan yang terhasil daripada merokok rokok tembakau,” katanya.

Beliau juga menegaskan, kepentingan pendidikan dan pengetahuan kepada semua lapisan generasi termasuk golongan intelektual dan komuniti kesihatan mengenai konsep pengurangan kemudaratan tembakau (Tobacco Harm Reduction) semakin diterima oleh negara maju yang lain.

Sebagai contoh, New Zealand telah mempromosikan vape sebagai kaedah untuk berhenti merokok sejak tahun 2017 bagi mencapai negara bebas rokok menjelang tahun 2025. 

Usaha mereka itu berjaya apabila mampu menurunkan peratus merokok kepada 13.4 peratus pada 2019/2020, berbanding 16.6 peratus pada 2014/2015.

Dr. Arifin menambah, terdapat banyak kajian yang telah dijalankan di peringkat antarabangsa yang membuktikan bahawa vape adalah kurang memudaratkan berbanding rokok tradisional dan merupakan salah satu kaedah pengurangan kemudaratan yang terbaik bagi merokok.

MAJORITI pengguna beralih kepada vape untuk berhenti merokok dan mengurangkan kemudaratan merokok. -GAMBAR HIASAN

Sementara itu, Presiden Malaysia Vapers Alliance’s (MVA), Khairil Azizi Khairuddin berkata, hanya melalui undang-undang dan kawal selia sahaja mampu melindungi pengguna daripada isu kandungan terlarang di dalam produk vape yang boleh menyebabkan EVALI.

Menurutnya, majoriti pengguna beralih kepada vape untuk berhenti merokok dan mengurangkan kemudaratan merokok. 

“Sudah tentu mereka tidak mahu produk yang mendatangkan risiko besar kepada kesihatan mereka. Lagi pun ia menjadi kesalahan kepada pengguna untuk memberi sebarang produk yang mengandungi bahan terlarang seperti dadah.

“Satu cara untuk melindungi pengguna adalah melalui undang-undang yang sesuai dan berpihak kepada semua pihak termasuk pengguna, industri dan juga Kerajaan,” jelasnya.

KHAIRIL

Tambahnya, walaupun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin telah berjanji untuk membentangkan Rang undang-undang Akta Kawalan Tembakau dan Merokok pada Julai ini, kerajaan tidak perlu menunggu kewujudan Akta tersebut untuk membuat peraturan untuk mengawal selia produk vape. 

Khairil juga menegaskan, jika akta tersebut tertangguh lagi seperti sebelum ini, pengguna akan terus menggunakan produk yang tidak dikawal selia.

Ulasnya lagi, kerajaan harus ambil tindakan segera sekarang untuk membuat peraturan dengan akta yang sedia ada sambil menunggu akta baru digubal.

“Kerajaan sudah pun ada peraturan untuk melarang penggunaan vape di tempat yang dilarang merokok. 

“Peraturan tersebut boleh diperkembangkan lagi untuk merangkumi perlindungan pengguna serta kawal selia aktiviti pemasaran untuk memastikan produk tersebut tidak terjual kepada mereka yang bawah umur,”  kata Khairil.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI