fbpx

Inovasi artistik fesyen rekaan pelajar TAR UC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA rekaan pelajar yang dipersembahkan dalam pertunjukan fesyen berlangsung di Lightbox, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

GAUN malam (evening dress) merupakan pakaian yang biasanya digayakan oleh wanita bagi menghadiri acara rasmi atau berkod pakaian.

Fabrik mewah seperti organza, baldu, sifon dan satin biasanya digunakan untuk penghasilan gaun malam memandangkan sifatnya yang beralun, sekali gus memberikan gaya anggun kepada si pemakai.

Sekumpulan pelajar fesyen daripada sebuah kolej swasta di ibu kota baru-baru ini berpeluang mengadakan satu pertunjukan fesyen bagi mempamerkan bakat mereka dalam penghasilan pakaian termasuk gaun malam yang menarik.

Pelajar Fakulti Komunikasi dan Industri Kreatif (FICC), Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) mengetengahkan seleksi busana penuh menawan rekaan mereka itu dalam pertunjukan fesyen berlangsung di Lightbox, Sungai Buloh, Selangor.

Menurut pensyarah yang juga merupakan penasihat acara, Aizurawaty Mohd. Nawi, 37, acara tersebut merupakan medium pelajar untuk mempamerkan idea, bakat dan kebolehan mereka dalam menghasilkan busana yang menepati kehendak pasaran fesyen yang sentiasa berkembang.

“FCCI TAR UC Kuala Lumpur telah menganjurkan Pertunjukan Fesyen Ijazah Sarjana Muda 2022 yang mana acara ini menampilkan rekaan terbaik dan karya inovatif daripada sebelas pelajar tahun akhir dari fakulti tersebut.

“Tema bagi pertunjukan tahun ini adalah SERIBU FANTASI atau A THOUSAND FANTASIES yang mana pelajar TAR UC telah mempamerkan karya teladan yang memenuhi permintaan artistik industri kreatif yang sentiasa berkembang,” ujarnya kepada Stailo.

Koleksi-koleksi oleh pelajar tahun akhir ini menterjemahkan falsafah peribadi oleh setiap pereka selain cetusan inovatif yang menonjolkan kebolehan mereka dalam menyampaikan idea melalui semiotik fesyen dan gaya.

Tambah Aizurawaty, setiap pelajar menghasilkan enam pasang busana yang kesemuanya dipersembahkan ketika pertunjukan fesyen tersebut.

Antara koleksi paling menyerlah ialah karya Chan Zhi Ning yang mempamerkan koleksi Oysterling yang merupakan kategori busana gaun malam.

Seleksi rona putih gading yang lembut menyerlahkan sisi anggun dan ayu pada pemakai.

Bagi memberikan efek beralun, Zhi Ning telah menggunakan material seperti jorjet dan satin crepe pada rekaannya.

Jelas Aizurawaty, secara peribadi, dia amat menyukai rekaan yang dihasilkan daripada salah seorang pelajarnya iaitu Chow Jia Xiuen yang disifatkan sebagai cukup unik dan lain daripada yang lain.

“Koleksi yang dihasilkan Jia Xiuen pula adalah berinspirasikan daripada Chinese building art atau bangunan seni dari China yang mana rekaan ini memperlihatkan elemen dan ciri-ciri inovasi melalui teknik, bahan, aplikasi yang digunakan serta teknik cetakan rekaan sendiri oleh pelajar yang selari dengan inspirasinya bagi koleksi itu.

“Malah, ia juga tidak terhad kepada penghasilan rekaan pakaian, namun turut diterjemahkan pada pemilihan aksesori yang pastinya akan memberi impak kepada inovasi fesyen,” ujar Aizurawaty.

Maklumat lanjut berkenaan koleksi rekaan pelajar TAR UC itu boleh didapati di laman web www.tarc.edu.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN