fbpx

Igauan misteri 10 tahun Histeria The Series

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NASKHAH Histeria The Series bersiaran menerusi Astro Citra, saluran 108 setiap Isnin pukul 9 malam ataupun boleh distrim menerusi platform Astro GO dan On Demand.

MISTERI kematian seorang pelajar sekitar 10 tahun lalu menjadi igauan dan mimpi ngeri buat pelajar lain di sebuah sekolah sehingga mengundang pelbagai kejadian aneh dan mistik.

Demikian jalan cerita yang dipaparkan menerusi sebuah drama siri premium Astro Originals, Histeria The Series yang akan menemui penonton bermula hari ini, 6 Jun.

Menariknya, drama siri berkenaan merupakan kesinambungan filem seram pecah panggung pada 2008, Histeria lakonan hebat Liyana Jasmay, Scha Alyahya, Yana Samsudin dan Adi Putra.

Demi mengekalkan magis jalan cerita yang penuh mendebarkan, siri tersebut terus meminjam sentuhan pengarah asal filem berkenaan, James Lee.

Bukan hanya Histeria, sutradara sama juga pemenang Best Asean Feature Award di Bangkok International Film itu merupakan pengarah bagi beberapa buah filem seram popular antaranya Tolong Awek Aku Pontianak, Sini Ada Hantu, Claypot Curry Killers dan Two Sisters.

SEKUMPULAN pelajar terdiri daripada Alia, Puteri, Zee dan Diana cuba merungkai kes misteri membabitkan kematian seorang pelajar di sekolah mereka.

Isu sosial sekolah

Muncul dengan siri televisyen, kelainan yang cuba ditonjolkan dalam drama siri premium tersebut adalah mengangkat isu dalam kalangan masyarakat sejak dahulu iaitu masalah sosial seperti kes buli dan gangguan seksual di sekolah.

Naskhah terbitan Astro Shaw dan produksi Infinitus Gold tersebut menyaksikan jenama Astro Originals meletakkan kepercayaan kepada barisan pelakon muda berbakat besar sebagai bintang utama.

Mereka terdiri daripada Mia Sara Afdlin Shauki sebagai Alia, Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid Al-Yahya (Diana), Amelia Christie (Puteri) dan Serra Kamal (Zee).
Selain wajah baharu, Histeria The Series turut menampilkan kemunculan watak asal dalam filem Histeria iaitu Murni lakonan Liyana Jasmay.

Tidak ketinggalan, beberapa nama hebat seperti Nam Ron, Tony Eusoff, Ziana Zain, Ziha Salleh, Fimie Don, Mathni Razak, Farah Ahmad dan Rosdeen Suboh turut mewarnai jalan cerita.

WATAK polis dijayakan Nam Ron juga antara watak asal versi filem Histeria yang kini bersambung dalam Histeria The Series.

Penerbit Eksekutif Infinitus Gold Sdn. Bhd., Gayatri Su-Lin Pillai yang secara peribadi pernah terlibat dalam penghasilan filem Histeria berbesar hati apabila dapat menjalin kerjasama bersama Astro Shaw dalam pembikinan Histeria The Series.

“Filem Histeria sangat dekat di hati saya. Bagi Histeria The Series, kami tampilkan suntingan yang lebih teliti dan hebat. Harapan saya, siri ini dapat menyumbang nilai hiburan yang baik serta memartabatkan lagi kualiti naskhah Malaysia,” katanya.

WATAK Murni lakonan Liyana Jasmay dikembalikan untuk Histeria The Series.

Bagi Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad pula, ini merupakan kali pertama Astro Originals tampil dengan genre misteri seram dengan menyelitkan isu kemasyarakatan.

“Meskipun merupakan kesinambungan filem terdahulu, tetapi jalan cerita siri ini diolah dengan naratif baharu dengan konflik yang dekat masyarakat dan mudah difahami,” ujarnya.

Drama siri tersebut membawa kisah pelajar di sebuah sekolah berasrama dihantui insiden misteri dan membawa mereka menjejaki kes pembunuhan yang pernah berlaku 10 tahun lalu di lokasi sama.

Histeria The Series bersiaran menerusi Astro Citra, saluran 108 setiap Isnin pukul 9 malam ataupun boleh distrim menerusi platform Astro GO dan On Demand.

Ziana ZAIN membuat kemunculan istimewa dalam Histeria The Series memegang watak sebagai pengetua sekolah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI