fbpx

Kes saman fitnah Firdaus Wong, Arunakirinathan selesai secara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Firdaus Wong (kiri) dan Arunakirinathan.

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah yang difailkan pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung terhadap aktivis T. Arunakirinathan diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini.

Menerusi perkongsian di laman Facebook milik Firdaus Wong hari ini pendakwah itu berkata, penghakiman persetujuan itu dicapai ketika prosiding diadakan secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache pada Isnin lalu.

Menurutnya, antara terma persetujuan bagi penyelesaian ialah Arunakirinathan selaku defendan perlu memohon maaf secara bertulis dan menerusi rakaman video di Facebook kepada Firdaus Wong selaku plaintif.

Firdaus Wong berkata, Arunakirinathan perlu memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah yang telah dilemparkan selain defendan dikehendaki memuat naik pengakuan itu serta merta daripada tarikh penerimaan.

Pada masa sama, defendan perlu membayar RM8,000 kepada Firdaus Wong dalam masa 14 hari daripada tarikh penghakiman yang telah dipersetujui pihak-pihak.

Sementara itu, peguam, Syahidah Hanum Mohd. Ghazali yang mewakili Firdaus Wong ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Dalam kes ini, Arunakirinathan diwakili peguam Manoharan Malayalam.

Terdahulu menerusi kenyataan di Facebook, Firdaus Wong turut memanjatkan kesyukuran kerana kes saman fitnah itu telah diselesaikan.

“Syukur Alhamdulilah, atas doa sahabat semua, semoga dia dikurniakan hidayah oleh Allah,” katanya.

Pada 29 Jun 2019, Firdaus Wong memfailkan saman terhadap Arunakirinathan kerana memuat naik kenyataan dan video memfitnah beliau sebagai pengganas, menghina agama lain serta mengubah kitab agama lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI