fbpx
Anggota penguat kuasa KPDNHEP Kelantan (kiri) dan PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menunjukkan tong diisi petrol selepas menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Nilam Puri, Kota Bharu semalam. - Foto IHSAN KPDNHEP KELANTAN

Penyeludup dicekup ulang-alik isi minyak petrol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Taktik seorang penyeludup minyak petrol yang mengisi bahan api itu dari satu stesen ke stesen lain terbongkar apabila dia dicekup semasa melakukan kegiatan tersebut di sebuah stesen minyak di Nilam Puri di sini semalam.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan yang menjalankan operasi bermula pukul 9 pagi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat sebelum menjalankan risikan dan berjaya mengesan pergerakan sebuah kereta jenis Proton Wira yang mengisi minyak petrol di beberapa stesen minyak secara berulang kali.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, lelaki itu sedang mengisi minyak di dalam tong yang diletakkan di bahagian penumpang depan dan belakang selain but kereta tersebut.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu telah menjumpai sebanyak 22 tong dan sebanyak 550 liter minyak petrol telah diisi ke dalam tong-tong berkenaan.

“Operasi yang turut disertai oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor itu turut menyita kereta Proton Wira yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Aswadi memberitahu, nilai rampasan petrol itu dianggarkan bernilai RM1,127.50.

Katanya, KPDNHEP akan memastikan kegiatan penyeludupan petrol ke negara jiran dapat dibanteras sekali gus memastikan bekalan untuk kegunaan rakyat tempatan sentiasa mencukupi.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

POPULAR