fbpx

[VIDEO] Lelaki tular pukul warga emas atas jalan dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar penunggang motosikal yang memukul lelaki warga emas di Padang Jawa, Shah Alam

SHAH ALAM – Seorang penunggang motosikal yang tular memukul lelaki warga emas di jalan berdekatan jejantas Padang Jawa di sini, hari ini dicekup polis bagi membantu siasatan.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan selepas mangsa berusia 61 tahun tampil membuat laporan, kira-kira pukul 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang juga pesara swasta memandu bersama isteri dan cucunya menuju ke Putrajaya pukul 12 tengah hari.

Katanya, ketika membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue, suspek yang menunggang Yamaha Y15 dipercayai menjerit dan memarahi mangsa.

“Mangsa kemudian berhenti untuk memeriksa sekiranya ada perlanggaran, namun suspek terus menendang dada kirinya.

“Suspek kemudian duduk atas badan mangsa dan menumbuk muka dan kepala bertubi-tubi hingga menyebabkan bengkak bawah mata serta kepala selain sakit di rusuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Iqbal, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

“Penunggang motosikal itu akan direman esok bagi membantu siasatan.

“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Syuhada Aziz di talian 018-9124770,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan seorang lelaki memukul warga emas itu sehingga terjatuh atas jalan.

Beberapa orang awam kemudian tiba dan cuba menghentikan perbuatan itu yang menerima kecaman netizen. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI