fbpx

Syafiq Kyle ‘seram’ tengok lakonan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFIQ KYLE

KUALA LUMPUR: Pelakon Syafiq Kyle masih berdepan rasa takut melampau untuk menonton hasil lakonannya walaupun sudah sedekad berada dalam industri seni.

Katanya, keadaan tersebut membuatkannya bersungguh-sungguh dalam menjayakan watak terutama dalam kepantasan teknologi yang membolehkan penonton mengikuti drama atau filem lakonannya berulang-kali.

“Kita tahu zaman teknologi banyak perkara akan sentiasa kekal di internet untuk 10 tahun lagi. Kalau hasil kerja kita tak membanggakan atau menyenangkan kita sendiri, macam mana kita nak ajak penonton tengok?

“Benda ini susah untuk saya sampai timbul perasaan ‘insecurity’ serta ‘over thinking’ yang sangat tinggi sampai membuatkan saya takut untuk tengok semula lakonan kalau merasakan ia tidak sebagus diharapkan.

“Situasi ini juga saya rasa turut dihadapi pelakon lain, tetapi ia bergantung kepada tahap mana, contohnya ada rakan seperjuangan saya dalam arena ini berdepan gejala kebimbangan yang teruk hingga pernah pitam di majlis prebiu.

 

“Mungkin orang kata saya memilih. Kalau kaut semua tawaran nanti saya yang  jadi ‘over thingking’. Jadi saya buat saja yang perlu dibuat sambil berusaha untuk berikan hasil terbaik dengan banyak belajar,” katanya kepada Kosmo!

Pemilik nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 30, itu ditemui pada majlis tayangan media drama bersiri terbitan Viu Original Malaysia berjudul Seribu Nina, baru-baru ini.

Menerusi drama pengembaraan yang disiarkan menerusi saluran Viu bermula hari ini, Syafiq menggalas peranan pensyarah muda bernama Amar. Amar menjalin cinta dengan Nina lakonan Adriana Adnan yang datang dari dimensi lain.

Percintaan mereka berdepan dugaan apabila gadis tersebut diculik dan dibawa ke dimensi lain yang mempertemukan Amar dengan pemburu upahan, Didi (Marsha Milan) dalam usahanya menjejaki kekasih hati.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam Seribu Nina, Syafiq mengakui kisah fantasi yang membawa penonton meneroka dimensi berbeza antara naskah yang memberikan kepuasan kepadanya.

Bukan saja berpeluang tampil dalam empat karakter, dia memaklumkan dapat menimba ilmu bagi memantapkan lagi watak yang perlu ditonjolkan dengan bimbingan tenaga pengajar khas.

Kongsinya lagi, proses pembelajaran terutama mendalami watak dan perwatakan juga antara usaha yang dilakukan sejak dulu supaya mampu melunaskan tanggungjawab seperti diharapkan selain dapat meningkatkan keyakinan diri.

“Mengikuti kelas lakonan mungkin bukan usaha yang besar tetapi sekurang-kurangnya kita dapat perbaiki kelemahan sekaligus dapat mengurangkan masalah ketika di set penggambaran.

“Jika produksi tak sediakan guru, tidak salah kalau kita sendiri cari supaya saya dapat mandalami lagi watak dengan baik. Bagi Seribu Nina ini, pihak Infinitus Ventures dan Viu ada sediakan beberapa sesi bersama guru berpengalaman.

“Malah sesi berkenaan juga banyak mencungkil keserasian terutama ini juga gandingan pertama saya dengan Adriana dan Marsha. Memang banyak pengisian diperoleh selain membolehkan kami cepat serasi sebelum masuk set lagi.

“Selain ilmu lakonan, kelas sebegini turut membantu mempertingkatkan keyakinan diri serta belajar mengenali seseorang menerusi pemerhatian. Secara tidak langsung kita dapat membantu menyelesaikan masalah orang lain,” ulasnya.

Selain sibuk dengan satu persatu penggambaran termasuk untuk siaran layar perak, dia turut sempat menimba ilmu kerja belakang tabir sebagai proses meraih pengetahuan dalam industri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI