KUALA LUMPUR – Bekalan minyak masak peket satu kilogram (kg) bersubsidi semakin kurang di pasaran sejak dua bulan yang lalu sehingga menyebabkan para peniaga terpaksa catu jualan agar dapat dijual secara adil kepada pelanggan.
Keadaan itu bukan berlaku di Lembah Klang sahaja malah di beberapa negeri lain.
Tinjauan Kosmo! di pasar raya dan kedai borong sekitar Lembah Klang mendapati rata-rata peniaga menyuarakan keresahan selepas bekalan minyak peket tidak cukup untuk menampung permintaan pengguna.
Seorang penyelia pasar raya, Khairul Fauzi, 22, berkata, permintaan terhadap minyak peket semakin tinggi apabila ramai pengguna tidak lagi membeli minyak masak botol disebabkan harganya yang mahal.
“Pengguna sudah bertukar daripada guna minyak masak botol kepada minyak masak peket, tapi bekalan di pasar raya kami sendiri tak cukup untuk tampung semua,” ujarnya semalam.
Tambah Khairul, pihak pasar raya juga mengalami masalah untuk mendapatkan bekalan tersebut dan kuantiti diterima daripada pemborong sangat terhad.

Seorang peniaga di Shah Alam menunjukkan kotak minyak peket yang kosong dan habis stok.
Di Sungai Petani, Kedah, isu kekurangan minyak peket didakwa sudah berlarutan sejak Ramadan lalu.
Seorang peniaga kedai runcit di sini, B. Kogilambal, 50, berkata, dia terpaksa menjual minyak masak peket dengan harga RM2.70 berbanding RM2.50 kerana tidak mempunyai pilihan.
“Kita terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi untuk sediakan stok itu untuk menarik pelanggan ke premis kerana jika tiada minyak masak peket mereka tidak membeli barangan lain,” jelasnya.
Di Kuala Terengganu pula, seorang peniaga, Nor Haliza Harun, 38, berkata, harga jualan juga masih dikekalkan RM2.50 sepeket walaupun keuntungan diraih kurang 10 sen bagi setiap peket.
“Tidak banyak boleh dibuat selain catu minyak sejak minggu lalu dan kekalkan harganya kerana minyak peket barang kawalan.
“Kita menerima daripada pembekal pun pada harga RM2.41 sepeket untuk dijual RM2.50 iaitu harga kawalan. Berapa sangat untung selepas ditolak kos pengangkutan dan sebagainya,” katanya.
Keadaan di George Town pula, seorang pelanggan yang juga suri rumah, Aina Mardhia Ismail, 38, berkata, dia terpaksa mencari bekalan minyak peket di empat buah kedai runcit berhampiran rumahnya termasuk di pasar awam tetapi tiada bekalan.
“Masa Ramadan lalu ingat peniaga borong untuk guna ketika berniaga di bazar Ramadan, sekarang tetap tiada stok, pelik sungguh,” jelasnya.
Di Johor Bahru pula, Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, ketika ini pihaknya telah pun mengehadkan penjualan minyak masak sepeket kepada hanya tiga peket bagi seorang pembeli.
“Bekalan sukar dapat, kami kena catu bagi semua dapat beli,” jelasnya.















