fbpx
MANCHESTER UNITED gagal menempatkan diri di kelompok empat pasukan teratas musim ini untuk mara ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. - AFP

Musim malang Manchester United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER United terpaksa mengakui bahawa mereka sedang melalui musim yang sangat mendukacitakan dan perit apabila gagal untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik yang menjamin mereka ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Hanya mampu meraih empat mata daripada 15 mata maksimum untuk lima perlawanan terakhir menyaksikan mereka sudah terkeluar daripada saingan untuk merebut slot berkenaan, malah berbaki satu lagi perlawanan, mereka juga mungkin terlepas peluang ke saingan Liga Europa apabila dibezakan empat mata berbanding Tottenham Hotspur.

Spurs ketika ini meraih 62 mata, namun masih memiliki dua baki perlawanan menyebabkan United mungkin hanya mampu untuk beraksi di Liga Konferens Eropah yang merupakan saingan tahap ketiga Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Situasi itu menyaksikan United bakal berdepan kesulitan pada jendela perpindahan musim panas nanti untuk membawa masuk dan meyakinkan pemain yang ingin dibeli bermain dengan mereka kecuali menggunakan sepenuhnya pengaruh kewangan yang dimiliki.

Kegagalan kali ini bukan sahaja memberikan kesan dari segi imej kelab terutama ketika mereka sedang mengalukan kepulangan legenda, Cristiano Ronaldo, tetapi sedikit sebanyak berdepan kerugian dari segi kewangan biarpun masih lagi berstatus kelab kaya dunia.

Menurut laporan, United akan kehilangan ratusan juta pound menerusi bonus yang sepatutnya mereka terima daripada pihak penaja ekoran kegagalan menamatkan saingan dalam kelompok elit Liga Perdana Inggeris.

Penaja utama mereka, Team Viewer yang merupakan syarikat teknologi dari Jerman menjanjikan insentif persembahan pada awal musim ketika mereka memeterai perjanjian bernilai £235 juta (RM1.26 bilion) untuk tempoh lima tahun.

Berdasarkan perjanjian tersebut, United terlepas peluang untuk mendapatkan bonus sebanyak £47 juta (RM252.10 juta) kerana kegagalan mereka itu.

Selain itu, The Red Devils juga terlepas jumlah bonus yang besar daripada syarikat pengeluar barangan sukan terkemuka dunia, Adidas yang menjadi penaja jersi dan kelengkapan lain.

Adidas dan United menandatangani kontrak selama 10 tahun bernilai £750 juta (RM4.22 bilion) sebelum ini, namun dalam klausa perjanjian menyebut bahawa pasukan itu perlu beraksi dalam saingan UCL sebelum layak untuk menebus wang bonus yang dijanjikan.

Lebih memeritkan United ketika ini, mereka juga terpaksa melepaskan satu lagi penaja utama, Aeroflot yang merupakan syarikat penerbangan dari Rusia selepas melancarkan serangan ke atas Ukraine.

Ketika masa depan beberapa pemain bintang seperti Ronaldo dan Paul Pogba yang dianggap sebagai ‘magnet’ menarik penaja masih tidak menentu, ia bermakna United bakal berdepan tekanan kewangan yang hebat dalam usaha menyiapkan pasukan yang lebih mantap bagi menghadapi saingan musim depan.

POPULAR