SARAH bingung apabila segala usahanya untuk memperbaiki hubungan dengan ibu mentua tidak menjadi. – GAMBAR HIASAN

K2

Bercerai kerana pendidikan tak sampai PhD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACAM-MACAM kisah orang yang berumah tangga hingga terpaksa bercerai disebabkan campur tangan pihak ketiga, terutamanya mentua yang tidak suka dengan menantu kerana berlainan status.

Ada yang tidak boleh ‘masuk’ dengan menantu disebabkan datang dari keluarga miskin yang tidak setaraf dengan tahap kehidupan mereka sebagai golongan berada.

Cuma, kisah yang satu ini jarang berlaku apabila mentua memberi alasan tidak ‘cocok’ dengan menantu disebabkan tidak berstatus PhD dalam pendidikan.

Mereka hanya mendambakan seorang menantu yang ada PhD memandangkan semua ahli keluarga lain berpendidikan hingga ke tahap itu.

———————————————————————————————————————————————————————————
TERMENUNG Sarah (bukan nama sebenar) mengenangkan rumah tangga yang baru dibina dua tahun lalu musnah gara-gara campur tangan keluarga mentua.

Tidak pernah disangka, pada usia 26 tahun dia sudah menjanda sedangkan sepatutnya pada usia sebegitu dia sepatutnya sedang menikmati kebahagiaan awal rumah tangga.

Sungguh menyedihkan apabila status isteri orang yang dipegang sekelip mata bertukar kepada janda.
Akui kesilapan yang dilakukan, anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini mengakui, hubungannya dan bekas suami, Azmi (bukan nama sebenar) tidak pernah direstui keluarga mentua. Bahkan, sebelum mereka melangsungkan perkahwinan, pelbagai syarat diletakkan mentua.

“Kalau saya tidak berdegil untuk meneruskan perkahwinan dengan bekas suami, mungkin saya tidak memegang status janda semuda ini, tetapi saya reda dengan ketentuan-Nya. Mungkin ada hikmah di sebaliknya,” katanya memulakan bicara.

Menurut wanita yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Lembah Klang ini, dia mengenali bekas suaminya yang berasal dari Ipoh, Perak itu ketika sama-sama melanjutkan pengajian di menara gading.

“Azmi merupakan pelajar senior. Ketika saya baru memasuki pengajian Ijazah Sarjana Muda, dia sedang dalam tahun kedua pengajian di peringkat Sarjana atau Master.

“Kami berkenalan sewaktu dia mengendalikan sebuah seminar untuk junior yang baru mendaftar masuk di fakulti. Dari situlah bermulanya bibit-bibit percintaan antara kami berdua,” ceritanya.

Mengenali Azmi hampir lapan tahun, Sarah menyifatkan lelaki tersebut memiliki keperibadian yang cukup sempurna dan layak dijadikan suami.

Sebagai satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, Azmi begitu rapat dengan ibu dan adik beradiknya serta sangat mendahulukan keluarganya dalam apa juga perkara yang dilakukannya.

“Sebaik Azmi menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, dia menyambung pula pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Katanya, rata-rata ahli keluarganya mempunyai latar belakang pendidikan yang cukup bagus dan bergelar Dr.

“Saya pula terus bekerja selepas tamat Ijazah Sarjana Muda memandangkan keluarga bukanlah dalam kategori berada. Rezeki saya juga kerana diambil bekerja di sebuah syarikat yang boleh dikatakan hebat.

“Sebaik Azmi menamatkan pengajian dan berjaya mendapat pekerjaan, dia melamar saya menjadi isterinya. Alangkah gembiranya saya kerana inilah saat yang paling ditunggu sejak mengenali dirinya,” tambah Sarah.

KELUARGA Azmi meletakkan syarat berpelajaran tahap tertinggi sehingga PhD sebagai syarat untuk ‘masuk’ ke dalam keluarga mereka.

Dibawa pulang ke rumah keluarga Azmi untuk berkenalan dengan bakal mentua, kedatangan Sarah pada mulanya disambut baik. Begitupun, sebaik mengetahui kelulusan Sarah dan latar belakang keluarganya, layanan yang pada mulanya mesra jadi hambar.

“Seminggu selepas bertemu keluarga Azmi, dia menyuruh saya menyambung pengajian peringkat Sarjana. Katanya, ibu bapanya tidak mahu bermenantukan wanita yang tidak berlatar belakang pendidikan hebat.

“Soal keluarga susah boleh ditolak tepi tetapi perihal pendidikan mereka amat mementingkannya. Dek terlalu sayang, saya menuruti permintaannya dan menyambung pengajian Sarjana secara separuh masa sambil bekerja. Tamat sahaja belajar, kami mendirikan rumah tangga,” ujarnya.

Tanpa disangka, perkahwinan mereka semakin hebat diuji sebaik majlis selesai dijalankan kedua-dua pihak. Bahkan, perangai sebenar keluarga Azmi juga mula kelihatan.

“Banyak yang terjadi dan sukar untuk dikongsikan. Kami sering bergaduh besar dan entah bagaimana ibu Azmi terkeluar daripada mulutnya mengatakan dia tidak merestui perkahwinan kami kerana saya anak orang susah dan memiliki Ijazah Sarjana sahaja, sedangkan dia sebenarnya mahukan yang ada PhD. Rupa-rupanya Sarjana tidak memadai baginya.

“Pelbagai cara telah dilakukan untuk memenangi hati ibu Azmi tetapi semuanya tidak menjadi. Sehingga ke satu tahap saya pernah terfikir untuk bercerai, tetapi apabila memikirkan mahligai yang baru sahaja dibina, saya cuba bersabar,” katanya.

Sepanjang dua tahun mendirikan rumah tangga juga, Sarah tidak pernah berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di kampung. Sebaliknya, hampir setiap masa dihabiskan bersama keluarga Azmi.

Episod kehancuran rumah tangga Sarah dan Azmi berlaku sebaik ibunya menuduh Sarah membomohkan Azmi supaya mengikut telunjuknya hanya kerana mereka berdua menikmati percutian bulan madu di Korea Selatan selama seminggu.

“Ibu tidak tahu walhal percutian itu adalah hadiah saya buat suami. Azmi langsung tidak membelanjakan wang untuk percutian tersebut kerana semuanya menggunakan wang bonus yang saya perolehi.

“Mungkin sudah ditakdirkan jodoh kami tidak panjang, Azmi ceraikan saya dengan talak satu sebaik mendengar dirinya dibomohkan biarpun dia tahu perkara sebaliknya.

“Syukur mental saya begitu kuat dan langsung tidak menitiskan air mata ketika diceraikan. Syukur juga kerana kami masih belum dikurniakan zuriat. Sekurang-kurangnya anak itu tidak perlu mengharungi hidup sukar dalam keluarga yang berpecah belah,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN