SUNGAI PETANI – Permohonan untuk mendapatkan permit bagi memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini akan dilaksanakan secara dalam talian menerusi sistem iForest berkuat kuasa bulan depan.
Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Datuk Isahak Murat berkata, permohonan permit itu adalah bagi tujuan rekreasi, aktiviti meredah hutan, mendaki gunung dan sebagainya.
Katanya, sistem tersebut dibangunkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) Negeri Kedah.
“Penggunaan sistem ini diharapkan dapat mempercepatkan proses permohonan tanpa melalui kaunter yang mana ia boleh menjimatkan kos dan masa.
“Selain itu, JPNK boleh mengenal pasti jumlah pelanggan yang akan memasuki HSK lebih awal seterusnya dapat membantu mengawal pengunjung yang keluar masuk ke kawasan tersebut,” katanya ketika melancarkan Sistem iForest dan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Latihan Perhutanan Jeniang di Pejabat Renjer Hutan Jeniang di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Muhamad Abdullah. – KOSMO! ONLINE