fbpx

Susah nak solat, Noorkhiriah mahu bina surau di stesen minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOORKHIRIAH sedang mencari mana-mana stesen minyak di sekitar ibu kota ataupun berdekatan tempat tinggalnya yang tiada surau dan mahu membina kemudahan tersebut di situ.

PETALING JAYA – Mahu meninggalkan ‘sesuatu’ sebelum menghembuskan nafas terakhir, pelakon Noorkhiriah meluahkan hasrat membina sebuah surau kecil di mana-mana stesen minyak yang tidak menyediakan kemudahan tersebut.

Niat murni pelakon itu muncul selepas melalui pengalaman sukar mencari surau ketika berada di sebuah lokasi penggambaran yang tidak didedahkannya.

Noorkhiriah, 43, menerusi perkongsian dalam Instagram berkata, dia berasa seperti mahu menangis gara-gara tidak berjaya mencari surau berdekatan untuk mendirikan solat di sebuah lokasi.

“Tolong sesiapa yang tahu ya. Terfikir nak buat begini pasal saya ada penggambaran di satu lokasi. Nak menangis dik, majoriti tak ada surau di stesen minyak.

“Akhirnya dapat tetapi itupun berebut dengan adik (lelaki) pekerja Grab Food,” katanya.

Noorkhiriah menerusi hantaran berkenaan turut meminta maklumat daripada pengikutnya jika mereka mengetahui mana-mana stesen minyak yang tidak memiliki kemudahan surau.

Jika boleh ujar pelakon itu, dia mahu membina surau di stesen minyak sekitar kawasan Kuala Lumpur ataupun berdekatan dengan tempat tinggalnya.

Tambah pelakon drama Ayahanda itu, hasratnya membina sebuah surau kecil hanya untuk memudahkan urusan orang lain mengerjakan solat jika berhenti di mana-mana stesen minyak.

“Setakat surau kecil akak mampulah, yang besar belum. Kita mudahkan urusan orang lain, Allah akan permudahkan urusan kita.

“Saya tak kaya tapi saya nak tinggalkan sesuatu sebelum meninggal. Moga usaha kecil saya ini Allah permudahkan,” luahnya.

Perkongsian pemilik nama lengkap Noorkhiriah Ahmad Shapie itu mengundang respons positif daripada netizen yang berkongsi maklumat diminta pelakon itu.

Bahkan ada juga sesetengahnya yang meluahkan hasrat untuk berkongsi dan menyalurkan dana bagi membangunkan kemudahan tersebut tetapi kata Noorkhiriah, apa-apa pun biarlah dia mendapat tapak terlebih dahulu sebelum berani membuka sumbangan daripada orang ramai.

Noorkhiriah sebelum ini aktif dengan kerja-kerja kebajikan apabila menjalankan perkhidmatan bantuan pengurusan jenazah percuma buat golongan tidak berkemampuan menerusi badan amal yang diusahakannya bersama suami, Pertubuhan Amal Nur By Khiriah sejak 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI