fbpx

Wabak hepatitis menular selepas pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK bermain di sebuah taman di Jakarta pada 29 Mac lalu. - AFP

LONDON – Hampir 300 kes dipercayai hepatitis teruk menyerang kanak-kanak di 20 buah negara seluruh dunia termasuk sebilangan di Asia Tenggara, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seperti yang dilaporkan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin. 

Pegawai-pegawai kesihatan seluruh dunia sedang menyiasat peningkatan penyakit hati tersebut yang pertama kali dikesan di Britain.

Mereka berkata, sejenis kuman biasa dinamakan adenovirus yang menular selepas pandemik, mungkin menjadi punca wabak  tersebut.

Setakat ini, WHO merekodkan satu kematian, manakala pihak berkuasa Indonesia melaporkan tiga kematian melibatkan kanak-kanak dipercayai berpunca daripada hepatitis akut.  

Ketiga-tiga pesakit kanak-kanak itu dirawat di hospital Jakarta Timur dan Jakarta Barat. Mereka mempunyai gejala seperti mual, muntah, cirit birit,  demam, penyakit kuning, kejang otot dan tidak sedarkan diri.

Setakat 1 Mei lalu, WHO menyatakan bahawa kebanyakan kes anak kecil yang menghidap hepatitis itu dikesan di Eropah, manakala sebilangan lagi dilaporkan di Benua Amerika, Pasifik Barat dan rantau Asia Tenggara.

Kes pertama hepatitis akut luar biasa itu dikesan di Scotland melibatkan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun dengan lebih 140 kes kini disiasat di Britain.

Kebanyakan pesakit kanak-kanak di Britain mengalami radang hati ringan, namun 10 kanak-kanak memerlukan pemindahan hati.

Mereka menunjukkan simptom awal seperti muntah dan cirit-birit diikuti kulit atau putih mata bertukar menjadi kuning dikenali sebagai jaundis.

Virus hepatitis biasa yang mengakibatkan gejala itu iaitu virus A, B, C, D dan  E tidak dikesan dalam kalangan pesakit.

Dalam perkembangan berkaitan, negara-negara di seluruh dunia masih menyiasat penyakit hati itu yang menyerang kanak-kanak selepas situasi tersebut pertama kali dilaporkan oleh pegawai-pegawai kesihatan Britain.

Menurut WHO, masih tidak  jelas sama ada terdapat peningkatan dalam kes hepatitis akut atau penyakit tersebut sememangnya wujud sebelum ini tetapi gagal dikesan dalam situasi normal.

Bagaimanapun, saintis-saintis percaya bahawa sejenis virus biasa yang melonjak sejak pandemik Covid-19 bermula,  mempunyai kaitan dengan penyakit misteri itu. 

Adenovirus merupakan kuman  biasa yang dikesan dalam sekitar 75 peratus kanak-kanak di Britain yang disahkan menghidap hepatitis akut, manakala variannya, F41 pula ditemui dalam 25 peratus sampel darah pesakit.

Varian adenovirus sama turut  ditemui dalam darah sembilan kanak-kanak yang menghidap hepatitis di Amerika Syarikat.

Terdapat 59 adenovirus yang berbeza, manakala kuman ini menyebabkan demam selesema dan cirit-birit tetapi jarang menjadi punca hepatitis dalam kalangan kanak-kanak sihat.

“Walaupun adenovirus mungkin penyebabnya, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca penyakit misteri ini,” kata WHO.  – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI