fbpx
IZZATI merupakan salah seorang pelukis autistik berbakat besar di negara ini.- Foto AMIR KHALID

Pameran serlah bakat hebat penghidap autisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SESIAPA sahaja yang melangkah masuk ke bilik seluas 15 meter persegi di Muzium Telekom Malaysia (TM), Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, pasti terkesima melihat isi di dalamnya.

Bilik terletak di aras bawah bangunan tiga tingkat itu dipenuhi 17 karya seni yang kebanyakannya sebesar satu meter persegi dengan menampilkan pelbagai motif menarik serta penuh warna-warni.

Setiap karya yang ditonjolkan di dalam bilik itu mempunyai jalan cerita atau maksud tersirat dan hanya diketahui oleh pelukisnya.

Sekali imbas, karya-karya yang dipamerkan di situ berkualiti tinggi setanding lukisan-lukisan dihasilkan pelukis profesional tempatan lain.

Hakikatnya, kesemua karya seni visual di situ dihasilkan oleh lima orang kelainan upaya (OKU) terdiri daripada para pelukis autistik.

Ia dipamerkan di situ bersempena pameran Seni Ekspresi Autisma (Sesama) anjuran Yayasan Telekom Malaysia (YTM).

Ia berlangsung dari 2 hingga 30 April 2022 dianjurkan sempena Hari Kesedaran Austisme Sedunia (WAAD) yang disambut baru-baru ini.

Antara pelukis terlibat pada Sesama ialah Izzati Shahrin, Stephanie Tam, Ong Yong Da, Haziq Izmi dan Maria Soo.

PAMERAN Sesama melibatkan lima pelukis autistik yang mengetengahkan 17 buah karya.

Ibu kepada Izzati, Zuraini Anuar, 62, memaklumkan, anaknya cukup teruja dapat menyertai pameran berkenaan dengan rakan-rakan selepas hampir dua tahun tidak berbuat demikian ekoran pandemik Covid-19.

“Ini pameran secara fizikal pertama disertai Izzati bersama rakan-rakan senasib dengannya selepas lebih dua tahun negara dilanda pandemik. Dia suka menyertai pameran bersama rakan-rakan berbanding secara solo.

“Ia memberi peluang kepada golongan istimewa seperti anak saya mempamerkan karya-karya dihasilkan buat tatapan serta jualan kepada pengunjung,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Dalam pameran Sesama, Izatti yang berusia 27 tahun menampilkan empat karya terbaiknya iaitu Forever Flowers, Pandemikku, 50 Merry Go Round dan Gemalai Bonekaku 3.

Zuraini berkata, kesemua lukisan Izzatii pada pameran itu mempunyai jalan cerita cukup unik hasil pemerhatian dan pemahamannya terhadap sesuatu isu sebagai seorang autisme.

Terangnya, karya Gemalai Bonekaku 3 misalnya, menampilkan beberapa wanita berpakaian tradisi tempatan sedang menari dihasilkan selepas dia melihat kakaknya berlatih menari.

Tambahnya, lukisan bertajuk Pandemikku pula mengetengahkan karya abstrak berkisar mengenai pemahaman terhadap pandemik yang melanda dunia.

“Setiap lukisan dihasilkan Izzati mempunyai cerita tersendiri. Hanya dia sahaja yang boleh menceritakan maksud tersirat setiap motif yang ditampilkan.

“Meskipun seorang yang istimewa, namun dia sangat peka dengan keadaan sekeliling. Pemahamannya terhadap satu-satu perkara tidak diluahkan melalui kata-kata, sebaliknya dizahirkan dalam bentuk lukisan.

“Daripada empat karya yang dipamerkan di sini, hanya tiga sahaja untuk dijual. Karya 50 Merry Go Round tidak dijual kerana ia dihasilkan untuk menyertai pertandingan,” terangnya sambil memaklumkan, beberapa individu telah menyatakan minat untuk membeli lukisan anaknya itu.

KARYA 50 Merry Go Round ini dihasilkan Izzati.

Menariknya, semua karya berkenaan dihasilkan menggunakan medium akrilik di atas kanvas. Masa diambil menghasilkan setiap karya adalah sekitar seminggu.

Mengulas mengenai pembabitan anak keduanya itu dalam dunia seni, Zuraini memberitahu, Izzati disahkan pakar mengalami autisme dan sindrom Down secara serentak ketika berusia lapan tahun.

Ujarnya, sebagai terapi diri kepada Izzati, dia selesa memberi kertas, pensil dan warna untuk anaknya melukis berbanding menonton televisyen sepanjang berada di rumah.

“Memang sejak kecil, saya suka bagi dia pensil, warna dan kertas. Dia memang suka lukis benda-benda yang terdapat di sekelilingnya.

“Pada peringkat awal, dia banyak lukis kotak-kotak kerana golongan autisme ini matanya banyak ke bawah ketika kecil. Apabila meningkat dewasa, baru dia melihat sekeliling dan ia dizahirkan di atas lukisan,” imbaunya.

Pada satu ketika, Izzati dipelawa untuk mempamerkan karyanya di ruang khas buat golongan OKU pada satu pameran di White Box, Publika, Kuala Lumpur.

Zuraini yang merupakan seorang pereka dalaman menambah, dia sama sekali tidak menyangka karya dihasilkan Izzati mempunyai nilai tinggi pada pandangan pengkritik, mahupun pengumpul karya seni visual.

“Izzati mula menyertai pameran seni sejak 2015. Karya pertama Izzati yang diketengahkan dalam pameran adalah sebuah lukisan menampilkan tiga ekor ikan koi.

“Pada ketika itu, ada seorang pengkritik merayu untuk membeli lukisan berkenaan. Dia cakap, karya Izzati cukup unik dan harganya boleh melonjak tinggi pada masa depan. Pada saya, lukisan Izzati biasa-biasa sahaja.

“Ternyata kata-kata pengkritik itu benar, kini harga lukisan Izzati mencecah puluhan ribu ringgit. Ia berada dalam koleksi bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Yayasan Maybank dan lain-lain,” ujarnya.

ZURAINI (kiri), Izzati (tengah) dan Izlyn bergambar kenangan berlatarbelakangkan karya unik anak autisme pada pameran Sesama di Muzium TM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk makluman, pameran Sesama turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan, Nak Seni dan We And I Art. Ia dirasmikan oleh Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Berucap pada majlis pelancaran itu, Ras Adiba berkata, kanak-kanak dan individu dalam spektrum spesial autistik memerlukan kasih sayang dan sokongan daripada masyarakat.

Katanya, orang ramai perlu memahami dengan lebih mendalam dan mempunyai belas kasihan terhadap golongan tersebut dan jangan sesekali bersikap tidak adil kepada mereka.

“Menjaga OKU ini tidak mudah, tetapi amanah ini adalah perjalanan yang indah dan mencabar.

“Ia juga merupakan sebab kenapa kita berada di sini iaitu untuk mempamerkan bakat luar biasa mereka melalui pameran seni,” ujarnya.

Pada pelancaran pameran, penganjur turut memperkenalkan naskhah bertajuk Rhythm Interactive Special Enabler. Ia merupakan sebuah buku panduan mengenai penggunaan praktikal perkusi untuk faedah terapeutik.

Buku tulisan Dr. Tan Swee Chuan dan Edwin Nathaniel itu didedikasikan untuk mengembangkan bakat muzik kanak-kanak berbakat istimewa.

Dalam pada itu, Pengarah Yayasan TM, Izlyn Ramli memaklumkan, pihaknya sangat berbesar hati dapat meraikan Hari WAAD menerusi pameran yang disertai oleh bakat-bakat seni luar biasa itu.

Katanya, tujuan utama pameran itu adalah untuk membantu memupuk dunia lebih mesra autisme melalui seni serta menunjukkan rasa cinta, belas kasihan dan empati.

“Ini kali kedua Yayasan TM menganjurkan pameran Sesama, tetapi ini tahun pertama ia diadakan di Muzium TM. Pameran ini diadakan secara percuma sebagai usaha kami untuk membantu golongan istimewa.

“Kami harap pengunjung dapat melihat di luar prasangka mengenai insan-insan autistik dan hak-hak mereka untuk berdiri sama tinggi dengan orang lain,” katanya.

Ujar Izlyn, pameran itu juga diharap dalam memberi nafas baharu kepada Muzium TM yang terpaksa ditutup kepada umum hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN