fbpx

Puasa yang sebulan bukan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

PEJAM celik, kini berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sambutan pada tahun ini pasti sangat meriah selepas dua tahun kita terpaksa beraya dalam keadaan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Suasana di pusat beli-belah, bazar Aidilfitri juga sudah mula dipenuhi orang ramai yang tidak sabar membuat persiapan raya kerana tidak mahu berebut pada saat-saat akhir.

Bagaimanapun, dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, kadang kala perbelanjaan pasti meningkat demi memeriahkan sambutan perayaan.

Pakar Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, perkara itu sebenarnya sudah dijangkakan terutama bagi pe­rayaan tahun ini, rakyat Malaysia akan beraya sakan selepas dua tahun tidak dapat beraya seperti biasa.

Bagaimanapun, sebelum berbelanja katanya, orang ramai perlu menitikberatkan beberapa perspektif terlebih dahulu supaya tidak melakukan pembaziran dalam menyiapkan persiapan raya.

“Ini sudah dijangkakan kerana sudah dua tahun tidak beraya. Tetapi, persoalannya adakah perkara ini sepatutnya berlaku? Dari segi perspektif psikologi ia tidak dapat dielakkan kerana semua orang mahu ‘membalas dendam’ selepas dua tahun tidak beraya.

“Selain ada yang menjadikan perayaan tahun ini sebagai ‘escapism’ untuk mereka lari daripada realiti kesusahan yang telah ditanggung dalam tempoh dua tahun ini.

“Tetapi, daripada aspek lain, perlu ditanya adakah kita ber­belanja di luar kemampuan kita? Kalau di luar kemampuan, perlu ingat kita akan kembali menjadi lebih teruk selepas raya nanti sehingga ada yang terpaksa menanggung hutang.

“Selain itu, perlu beringat juga walaupun ekonomi negara beransur pulih, ada lagi krisis yang besar seperti peperangan antara Rusia dan Ukraine yang boleh menyebabkan harga barang meningkat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Justeru itu katanya, orang ramai perlu memikirkan perspektif lain sebelum berbelanja kerana keadaan yang tidak menentu sekarang. Katanya, penting untuk orang ramai beringat dan membuat simpanan bagi kegunaan pada masa akan datang.

Sementara itu, memetik penulisan Timbalan Dekan (Pe­ngajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, pengguna Islam harus ingat bahawa agama menganjurkan masyarakatnya untuk bersederhana dalam semua aspek.

Katanya, konsep ‘puasa sebulan’ dan raya juga harus dirai dan disambut selama sebulan juga adalah tidak betul.

“Sepatutnya, masyarakat le­bih bijak dan berhemah berbelanja terutama dalam situasi ekonomi semasa dan mengamalkan kesederhanaan dalam membuat persiapan menyambut syawal.

“Membuat persiapan dan perbelanjaan untuk musim pe­rayaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan tetapi yang menjadi masalah adalah masyarakat tidak membuat perancangan kewangan atau tidak menyediakan bajet walaupun ramai tahu bahawa ia baik,” katanya.

Justeru itu, bagi mengelak menanggung bebanan hutang selepas Aidilfitri, seeloknya kita amalkan kesederhanaan dalam membuat persiapan dan ber­belanja untuk menyambut pe­rayaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI