fbpx

Siapa yang nak jadi janda – Nadia Brian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADIA BRIAN

LEMBUT tutur bicara, pemilik nama lengkap Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu semakin matang baik dari segi gaya pertuturan, seni menjawab soalan, termasuklah perihal menjaga keakraban bersama rakan media.

Nadia Brian, sepotong nama yang sebelum ini sering dihambat sensasi permasalahan rumah tangganya dengan bekas suami, namun perkara tersebut sudah menjadi pengajaran dan menjadi lipatan sejarah hidupnya.

Apa yang penting buat masa sekarang dan demi mendepani kehidupan mendatang, Nadia, 31, meletakkan komitmen dan perhatian 100 peratus terhadap kerjaya seninya yang semakin berbuah lebat.

Ramadan sedang melepasi fasa pertengahan, tak lama lagi, semua orang sibuk beraya bersama keluarga, sanak-saudara dan sahabat tercinta.’

Tidak kira tua atau muda, sudah berpasangan atau masih solo, perayaan paling bahagia buat umat Islam ini tersebut tetap akan diraikan dengan pancawarna, dinanti dengan seribu rasa.

Buat Nadia, kehidupannya juga sama. Status solo selepas bercerai dengan bekas suami, Muizz Nasruddin dua tahun lalu membaluti rutin sehariannya, namun tak ada yang menyekat rasa bahagianya.

MASIH single, Nadia Brian tidak kisah menyambut Ramadan dan Syawal tanpa kelibat lelaki bergelar suami di sisi. – MOHAMAD IQBAL ROSLI & AFIQ RAZALI

Bersyukur

“Saya rasa tak perlu uar-uarkan apa yang saya buat tapi Ramadan ini, saya relaks sikit boleh fikir hal melibatkan ibadat. Alhamdulillah, kerja lakonan tak banyak sangat, jadi, bolehlah saya fokus lebih sikit bulan puasa ini.

“Sebelum ini, memang saya tak nafikan kerja dan tawaran berlakon memang ‘back to back’, terutama selepas berstatus janda atau bercerai,” katanya kepada Pose, baru-baru ini.

Nadia sangat bersyukur, terutama waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19. Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa itu, tempoh tersebut menyediakan ruang untuk dirinya bermuhasabah dan memberi perhatian kepada diri yang agak terumbang-ambing akibat permasalahan peribadi dan tuntutan komitmen kerja.

“Saya bersyukur kerana adanya PKP sebelum ini. Saya dapat luangkan masa berfikir apa yang penting dan sebaliknya dalam kehidupan.

“Sebagai seorang pelakon, saya kerja macam terlalu asyik sampai lupa fikir tentang diri sendiri.

“Semasa PKP, saya seronok duduk rumah. Dapat luang masa bersama nenek dan emak saya. Jadi, memang seronoklah daripada fikir tentang masalah dunia yang takkan pernah habis,” ujarnya seperti memberi sedikit bayangan dirinya kini bahagia biarpun bersendirian.

Diasak pertanyaan tentang status jandanya yang belum terusik selepas lebih dua tahun berpisah dengan mantan suami, Nadia enggan terlalu memikirkan perkara tersebut atau tergesa-gesa berkahwin sekali lagi.

KATA Nadia, dia tidak menafikan sedang berkawan dengan seseorang, namun untuk menuju fasa perkahwinan, perkara tersebut masih jauh untuk direncanakan.

‘Saya nak ‘pulun’ dulu’

Apa yang penting buat pelakon Aku Yang Kau Gelar Isteri itu adalah kerjaya lakonan, sementelah khalayak juga semakin mengakui keberkesanan dan kualiti lakonannya, terutama disebabkan karakter Delilah dalam Kuasa yang sudah menemui penonton bermula 11 April lalu.

“Saya single dan rasanya untuk raya nanti pun akan masih dengan status tersebut.

“Memang tiada apa-apa sangat perkembangan tentang perihal yang dinyatakan itu. Bulan puasa pun saya lebih fikirkan nak meluangkan masa dengan anak buah dan keluarga. Alhamdulillah.

“Kawan memang ramai dan takkanlah saya cakap nak kawan dengan pokok pula kan (tertawa). Kalau tak berkawan cakap dengan telefon sahaja, tak elok pula untuk kesihatan mental.

“Jadi, sekarang ini masih dalam proses berkawan tapi tiadalah tergesa-gesa macam ‘oh aku nak kena kahwin’.

“Kalau ditanya sama ada saya trauma untuk berkahwin sekali lagi, jawapan saya adalah tidak.

“Soal kahwin takkan berlaku pada waktu sekarang atau terdekat. Saya nak kahwin tapi mungkin dalam setahun atau dua tahun lagi. Kita ‘pulun-pulun’ dulu apa yang boleh dipulun,” terangnya.

Sungguhpun begitu, Nadia yang juga merupakan graduan Diploma Seni Teater berkata, dia tidak punya kudrat untuk menidakkan urusan Tuhan jika dipertemukan jodoh lebih awal daripada jangkaan.

“Tak tahulah kalau jodoh awal tapi setakat ini, benda itu (kahwin) tidak menjadi keutamaan. Siapa (lelaki) yang masih boleh bertahan, anda masih di landasan yang tepat (ketawa).

“Nak kahwin ini ada fasa-fasanya. Bukannya terus kenal dan terus nak ajak kahwin. ‘No more’,” ujarnya berseloroh.

BUAT masa ini, lakonan menjadi cinta utama Nadia. Dia berharap terus dapat mengasah bakat dan menjadi pelakon berkaliber suatu hari nanti.

‘Saya maafkan’

Ditebak pertanyaan bagaimana dirinya ‘bertahan’ dengan status janda yang barangkali mudah menjemput tanggapan negatif masyarakat, jawab Nadia: “Apa orang cakap, saya maaf sahaja tapi kalau orang ‘melebih’, saya sendiri akan direct message (DM) tanya apa masalah mereka dengan saya.

“Ada yang cakap saya ahli neraka sebab seksi dan berstatus sebagai janda.

“Saya balas dengan sinikal mengatakan, memang pun mereka (yang kutuk saya) akan masuk syurga. Memang dah cop tempat.

“Pun begitu, ada juga dapat DM daripada netizen yang minta maaf secara peribadi kepada saya. Dia mengakui saya jadi bahan gosip di pejabat. Saya pun maafkan sahajalah.

“Dalam ruangan DM saya, gambar-gambar lucah memang selalu dapat dan saya tengok pun tergelak sahaja. Biasalah orang tak ‘betul’ hantar gambar lucah mereka dan pendekatan saya mudah. Saya malas nak ambil ‘port’.”

Melanjutkan bicara, Nadia memberitahu, pernah sekali melayari bahtera perkahwinan, namun tidak berpanjangan, itu semua bukan kehendak dirinya. Dia juga tidak pernah menyalahkan takdir.

“Siapa yang nak jadi janda? Kita kahwin kalau boleh nak selama-lamanya bersama. Tiada siapa nak semua itu. Kita pun dah hidup tahun 2022, janganlah ada yang pandang serong.

“Ada sebab perkahwinan itu berakhir. Kita pun tak tahu apa jadi kepada rumah tangga orang.

“Kita sendiri pun tidak tahu apa akan jadi dalam kehidupan. Saya tak bangga ataupun selesa pegang status janda tapi saya reda dan terima suratan takdir.

“Jadi, buat apa nak cakap benda-benda tak baik pasal orang lain. Sekarang ini dengan Covid-19, bencana alam dan ramai orang meninggal dunia secara mengejut, takkan kita masih nak sibuk bercakap buruk tentang orang lain.

“Zaman dahulu status janda memang orang malu. Pinta saya satu sahaja. Saya minta orang doa yang baik-baik buat saya dan doa yang sama saya balikkan buat semua orang. Insya-Allah,” jelas Nadia menggulung bicara.

BUAT Nadia, kehidupannya juga sama. Status solo selepas bercerai dengan bekas suami, Muizz Nasruddin dua tahun lalu membaluti rutin sehariannya, namun tak ada yang menyekat rasa bahagianya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI